• CUEPACS Gesa Naikkan Gaji Penjawat Awam

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menimbangkan kenaikan gaji penjawat awam bagi menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.

    Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata tuntutan itu juga sesuai berikutan harga rumah yang melambung tinggi pada masa ini.

    Katanya, mempunyai kediaman sendiri bukan perkara sampingan kerana individu yang ingin memulakan kehidupan perlu ada rumah.

    "Dengan harga rumah yang mahal ramai penjawat awam tidak mampu membeli rumah. Kita harap kerajaan dapat timbangkan kenaikan gaji bagi membantu mereka.

    "Kerajaan menyediakan banyak skim perumahan antaranya, Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), rumah mampu milik dan sebagainya.

    "Tetapi kalau gaji penjawat awam tak mampu menampung kos sara hidup, bagaimana untuk membeli rumah?," katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat sempena Program Transformasi Perkhidmatan Awam bersama kira-kira 400 penjawat awam di Kelantan di Dewan Bunga Teratai di sini, hari ini.

    Azih berkata, tuntutan kenaikan gaji itu perlu ditimbangkan dan perlu membabitkan semua penjawat awam di seluruh negara.

    Selain itu, beliau berharap kerajaan tidak memansuhkan skim pencen pada hampir 750,000 pesara kerajaan demi masa depan mereka.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " CUEPACS Gesa Naikkan Gaji Penjawat Awam "