• Cuba Bunuh Diri Nak Ugut Teman Lelaki

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun sanggup membahayakan diri berada di atas bangunan pusat membeli-belah di Kluang dan cuba untuk membunuh diri kerana mengugut teman lelakinya, petang semalam.

    Perkara itu bagaimanapun disedari pengawal keselamatan bangunan tersebut yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

    Sebelum itu, pengawal keselamatan terbabit dimaklumkan seorang anggota keselamatan terdapat seorang perempuan di kawasan bumbung dipercayai cuba untuk membunuh diri.

    Remaja terbabit kemudiannya dipujuk dan bersetuju untuk turun sebelum diserahkan kepada polis.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, hasil soal siasat, remaja terbabit memberitahu tidak berniat untuk membunuh diri sebaliknya hanya bertujuan mengugut teman lelakinya.

    “Ia berpunca panggilan telefon diterima daripada ibunya. Ibunya menyuruh remaja ini meninggalkan teman lelakinya dan bekerja di tempat lain.

    “Remaja ini berasa pelik dengan sikap ibunya dan menghubungi teman lelakinya untuk bertanya apa yang disampaikan oleh teman lelakinya kepada ibunya. Namun teman lelaki remaja ini enggan mengatakan apa-apa. Oleh itu remaja ini mengugut teman lelakinya untuk membunuh diri jika teman lelakinya enggan berlaku jujur,” katanya.

    Mohamad berkata, tindakan itu merupakan kali kedua remaja berkenaan cuba untuk membunuh diri.

    Katanya, kejadian pertama di tempat sama di mana remaja itu menjerut lehernya dengan menggunakan tali, namun diselamatkan oleh teman lelaki dan abang angkatnya.

    Subjects:

  • No Comment to " Cuba Bunuh Diri Nak Ugut Teman Lelaki "