• Cuaca Malaysia sejuk - PM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak selamat tiba di tanah air dari lawatan kerja ke Arab Saudi sejak 8 Januari lalu, atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

    Sebaik tiba, Perdana Menteri dalam entri terbaharu di media sosial rasminya, berkata beliau berasa sejuk seperti di Jeddah.

    "Wah..sejuk betul cuaca Malaysia hari ini, macam di Jeddah! Alhamdulillah selamat sampai ke tanah air," katanya.

    Aplikasi ramalan cuaca Malaysia, Met Office, baru-baru ini memaparkan cuaca di Lembah Klang turun sekitar 22 darjah Celsius, manakala cuaca sejuk dan lembap melanda utara negara dipercayai akibat tempias daripada luruan angin sejuk akibat tekanan tinggi di kawasan China.

    Sejak Ahad lalu, penduduk di wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand, termasuk ibu kota Bangkok, terpaksa memakai pakaian lebih tebal berikutan cuaca sejuk melanda kawasan itu.

    Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Alui Bahari, berkata cuaca di sebelah utara Semenanjung memang agak sejuk berikutan hujan berterusan sejak Khamis minggu lalu.

    Katanya, suhu dijangka boleh mencecah 20 darjah Celsius pada waktu Subuh.

    Sementara itu, dalam catatan di blog NajibRazak.com, Najib berkata, beliau bersyukur kerana lawatannya ke Arab Saudi kali ini mencapai matlamat dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

    Katanya, persaudaraan antara Malaysia dengan Arab Saudi telah terjalin lama, tetapi bertambah akrab dengan kunjungan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia tahun lalu, negara pertama yang dikunjungi baginda di Asia.

    "Hasil kunjungan itu juga, kita telah menerima banyak manfaat sama ada dalam pendidikan, perniagaan, pelaburan dan juga keagamaan.

    "Pada masa sama, saya juga telah dijemput oleh Baginda Raja Salman untuk berkunjung ke Arab Saudi.

    "Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT juga, minggu ini saya berpeluang memenuhi jemputan itu, selain berkesempatan mengerjakan umrah bersama bonda Tun Rahah Mohd Noah serta keluarga tercinta," katanya.

    Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan dua hala beliau bersama Raja Salman, antara yang dibincangkan adalah perkara seperti yang telah dipersetujui dalam kunjungan terdahulu baginda ke Malaysia.

    Ia membabitkan kerjasama ekonomi, keselamatan, perkara berkaitan ibadat haji selain penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.

    "Di kesempatan ini juga saya mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman atas layanan cukup istimewa dan memberikan taraf Tetamu Negara kepada saya dan rombongan.

    "Kami diberi penghormatan berkunjung ke makam Rasulullah SAW dan saya juga berpeluang memasuki Kaabah. Syukur Alhamdulillah.

    "Semoga hubungan persaudaraan ini akan terus terjalin erat dan bertambah kukuh lagi di masa hadapan, Insya-Allah," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Cuaca Malaysia sejuk - PM "