• Cekup Ketua Yakuza Hasil Gambar Tular

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+

    Bekas ketua Yakuza Jepun ditahan di Thailand, menamatkan pemburuan polis selama 14 tahun selepas gambar cacah lambang Yakuza dan jari kelingkingnya yang kudung tular.

    Shigeharu Shirai, 72, ditahan pasukan SWAT polis Thailand di Lopburi, kira-kira 50 kilometer dari Bangkok, ketika lelaki itu sedang membeli-belah di pasar, hari ini.

    Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana terbabit dalam kejadian tembak menembak antara dua kumpulan Yakuza di negara itu pada 2003.

    Shigeharu yang melarikan diri ke Thailand, berkahwin dengan wanita tempatan.

    Bagaimanapun, baru-baru ini seorang penduduk di kawasan Shigeharu tinggal menyiarkan gambarnya bermain dam yang jelas menampakkan cacah pada tubuhnya serta jari kelingking kudung.

    Menjadi amalan anggota Yakuza memotong hujung jari mereka bagi menebus kesalahan.

    Gambar itu dikongsi 10,000 kali dan menarik perhatian polis Jepun sebelum meminta kerjasama polis Thailand untuk menahannya.

    “Suspek mengaku pernah menjadi ketua satu kumpulan Yakuza Kodokai,” kata jurucakap polis Jeneral Wirachai Songmetta yang merujuk kepada Yakuza terbesar Jepun, Yamaguchi-gumi.

    Yakuza muncul selepas Perang Dunia Kedua sebagai pertubuhan jenayah dengan pendapatan berbilion ringgit meliputi perjudian, dadah, pelacuran dan pinjaman wang serta jenayah terancang.

    Tidak seperti mafia Itali atau kongsi gelap China, Yakuza tidak diharamkan di Jepun, malah setiap kumpulan mempunyai ibu pejabat yang diketahui polis.

    Shigeharu menghadapi dakwaan menembak mati ketua satu kumpulan yang tidak sehaluan. Tujuh anggotanya yang ditahan, dihukum penjara antara 12 hingga 17 tahun.

    “Suspek tidak membuat pengakuan terhadap dakwaan itu namun mengaku mangsa sering membulinya,” kata Wirachai.

    Seorang lelaki dari Jepun mengunjunginya dua atau tiga kali setahun untuk memberi wang kepada Shigeharu yang hidup sederhana tanpa pasport atau visa.

    Ada kira-kira 70,000 rakyat Jepun tinggal di Thailand, kebanyakannya terbabit dalam sektor automobil dan elektronik.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Cekup Ketua Yakuza Hasil Gambar Tular "