• 'Cecair Pencuci' Jutaan Ringgit

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+


    ISYTIHAR minuman keras sebagai cecair pencuci. Itu antara taktik penyeludup yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah selepas berjaya mematahkan tiga sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok, awal bulan ini.

    Dalam tiga serbuan berasingan itu, JKDM berjaya merampas minuman keras jenama Tiger dan Cool Beer serta rokok jenama Premium bernilai lebih RM10 juta termasuk cukai.

    Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan Datuk Zulkifli Yahya berkata, serbuan pertama dijalankan di Taman Kasigui 3, Penampang, 8 Januari lalu dan berjaya merampas 1,076 karton minuman keras yang disembunyikan di dalam lori.

    Hasil pemeriksaan mendapati semua minuman itu tidak mempunyai setem cukai dan bukti pembayaran cukai serta tiada label asal pengilang.

    “€œKes kedua dijalankan pada 12 Januari lalu di Pelabuhan Sepanggar membabitkan dua kontena yang baru tiba dari Singapura dan diisytiharkan membawa cecair pencuci.

    “€œBagaimanapun, pemeriksaan mendapati kedua-dua kontena itu sebenarnya membawa muatan minuman keras jenama Tiger,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Kota Kinabalu, hari ini.

    Menurut Zulkifli, lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai ejen penghantaran ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan usaha mengesan pemilik barangan berkenaan masih giat dijalankan.

    Katanya, JKDM sudah menghantar notis untuk meminta surat tunjuk sebab kepada syarikat berkenaan sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

    “œKita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan membatalkan lesen syarikat itu sekiranya terbukti terbabit dengan aktiviti menyeludup barangan berkenaan,” €katanya.

    Sementara itu, dalam satu lagi serbuan berasingan hari yang sama, JKDM berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 1,075 kotak rokok seludup menerusi pelabuhan Tawau.

    Zulkifli berkata, lelaki berusia 44 tahun yang juga pengurus syarikat pengimport ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

    “€œNilai barangan yang dirampas dalam ketiga-tiga kes ini dianggarkan sebanyak RM2.13 juta manakala nilai cukai yang sepatutnya dibayar melebihi RM8 juta.

    “€œKejayaan cemerlang yang dihasilkan dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini membuktikan keseriusan JKDM dalam membendung sebarang aktiviti penyeludupan di negeri ini,” €katanya.

    Menurutnya, JKDM juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan untuk tindakan segera.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Cecair Pencuci' Jutaan Ringgit "