• CCTV Dialukan Asal Tak Ceroboh Privasi Pelajar, Guru

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik usaha memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah namun berharap tindakan itu tidak sehingga menganggu privasi pelajar dan guru-guru.

    Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata lokasi pemasangan CCTV sewajarnya tidak menceroboh privasi pelajar dan guru seperti dalam bilik darjah, bilik guru, kawasan tandas dan juga bilik khas untuk pertemuan guru dan ibu bapa.

    “Meskipun cadangan untuk memasang CCTV di bilik khas bagi mengelak tohmahan terhadap para guru adalah berniat baik, namun saya rasa tidak perlu dan tidak ada kewajaran… dikhuatiri akan ada yang menularkan rakaman CCTV.

    Ini maruah kanak-kanak, kita perlu jaga aib mereka… privasi seseorang murid perlu dijaga… kalau rakaman CCTV itu viral, kesalahan yang dibuat murid itu tidak selesai, jadi cerita lain pula yang lebib parah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) bagi berbincang topik ‘Menangani Disiplin di Sekolah’ di sini malam tadi.

    Kamarozaman berkata pemasangan CCTV bagi tujuan pengawasan disiplin dan keselamatan warga sekolah wajar khususnya di sekolah yang bilangan pelajar ramai dan sekolah yang bermasalah.

    “Lokasi CCTV penting. CCTV di hadapan sekolah amat perlu untuk tujuan keselamatan terutamanya sekolah melebihi 1,000 atau 2,000 pelajar kerana boleh membendung kes jenayah seperti culik dan juga sekiranya berlaku kemalangan di hadapan sekolah,” kata beliau.

    Katanya pemasangan CCTV khususnya di tempat pelajar sering berkumpul seperti di lorong belakang dan juga di padang boleh membendung kes buli selain mengesan lebih awal masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

    Beliau bagaimanapun mengakui usaha memasang CCTV di seluruh 10,100 buah sekolah di seluruh negara agak sukar kerana kos yang terlalu tinggi.

    Bulan lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan akan melengkapi CCTV baharu berdefinisi tinggi (HD) di 100 sekolah terpilih di seluruh negara yang mampu dipantau terus Polis Diraja Malaysia sebagai usaha menangani gejala sosial dan memastikan keselamatan sekolah daripada diceroboh.

    Sementara itu, anggota Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang juga menjadi panel dalam program BNC itu berkata para guru perlu prihatin dan tidak menjatuhkan air muka pelajar dengan menyampaikan prestasi buruk atau masalah disiplin kepada ibu bapa, di hadapan murid itu sendiri.

    “Pada sesi perjumpaan guru bersama ibu bapa, guru perlulah puji dan guna kata positif kepada murid itu… kalau mahu berbincang masalah murid jangan dibuat secara terbuka di hadapannya hinggakan didengari murid dan ibu bapa yang lain… jangan hilangkan kepercayaan murid terhadap guru.

    “Ibu bapa pula jangan cepat melatah menyalahkan guru atau memarahi anak sejurus mendapat laporan… kanak-kanak perlu dididik dengan cara lembut… mereka perlu bezakan antara disiplin dan penderaan,’ katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " CCTV Dialukan Asal Tak Ceroboh Privasi Pelajar, Guru "