• Calon PRU14 Dinasihat Jalani Pemeriksaan Kesihatan

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    ALOR GAJAH: Kementerian Kesihatan menasihatkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) supaya mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan berada tahap dalam keadaan terbaik untuk menjalankan tanggungjawab.

    Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata saranan itu sejajar dengan tugas dan tanggungjawab seorang calon wakil rakyat yang akan sibuk dengan pelbagai komitmen dan jemputan yang perlu dipenuhi.

    "Saranan ini untuk memastikan semua pemimpin berada pada tahap kesihatan yang baik, namun untuk bertindak adalah keputusan individu itu sendiri.

    "Mereka (calon) juga perlu tahu mengenai tahap kesihatan mereka sama ada membenarkan untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik atau sebaliknya," katanya.

    Beliau yang juga Presiden MIC berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Rembia yang baharu di sini, hari ini.

    Pembukaan sekolah baharu itu membabitkan pemindahan seramai 120 murid Tahun Satu hingga Enam yang sebelum ini menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Rembia di sini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan.

    Sementara itu, Subramaniam berkata masyarakat India diminta tidak mudah terpengaruh dengan hebahan negatif terhadap pemimpin yang disifatkan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

    "Jika diperhatikan, terutama di media sosial, individu atau netizen yang bersuara negatif itu lebih menonjol berbanding yang menyambut secara positif apa jua usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan masyarakat India.

    "Saya minta masyarakat India memahami bahawa pemimpin kerajaan sentiasa berusaha untuk membangunkan institusi pendidikan bangsa kita dan tidak perlu membuat sebarang spekulasi, malah banyak projek pembinaan SJKT sedang dijalankan," katanya. - BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Calon PRU14 Dinasihat Jalani Pemeriksaan Kesihatan "