• Bunuh bapa curang: 2 beranak disambung reman

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+


    DUA beranak yang ditahan berhubung kes penemuan mayat lelaki yang disyaki dibunuh di sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari 2 3/6, Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor, minggu lalu, ditahan reman tiga hari lagi.

    Perintah lanjutan tempoh reman terhadap ibu dan anak itu dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap mereka.

    Selain wanita berusia 40 tahun dan anak lelaki berusia 17 tahun itu, reman terhadap tiga rakan remaja berkenaan yang semuanya berusia 18 tahun turut disambung tiga hari bermula esok hingga Khamis ini.

    Mereka yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum ini direman lima hari berakhir hari ini.

    Pada 17 Januari lalu, mangsa yang dikenali sebagai Kiu Kok Ying, 46, ditemui mati di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu dalam keadaan berlumuran darah dan mengiring ke kiri dengan satu kesan tikaman di dada kirinya dipercayai menggunakan pisau.

    Terdapat titisan darah dari bilik utama dipercayai bilik tidur mangsa di tingkat atas hingga ke tempat mayatnya ditemui serta terdapat kesan pergelutan di bilik utama itu yang mana rak baju terjatuh dan katil berselerak, namun tiada barang yang hilang dan tiada kesan pecah rumah.

    Hasil siasatan lanjut polis mendapati panggilan telefon yang diterima polis pada 11.08 pagi tentang berlakunya kejadian pecah rumah di lokasi itu sebenarnya dibuat seorang daripada suspek yang juga rakan anak mangsa dengan menggunakan nama orang lain.

    Beliau juga mengesahkan senjata iaitu pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui di sekitar kawasan Skudai, petang hari kejadian selepas suspek membuangnya ke dalam tong sampah.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bunuh bapa curang: 2 beranak disambung reman "