• Bukan Sahaja Kertas, Penukul Besi Pun Boleh Terbang Di PPR

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 16 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kisah-kisah mengenai pelbagai objek yang jatuh melayang dari tingkat atas rumah bertingkat melibatkan rumah pangsa dan pangsapuri memang sering diperkatakan.

    Sama ada perbuatan itu disengajakan atau tidak, namun mentaliti sesetengah masyarakat yang mengambil langkah mudah dengan membuang sampah, mahupun objek-objek lain dari tempat tinggal mereka memburukkan lagi keadaan.

    Paling teruk ialah penduduk di aras bawah kerana melihat sampah-sampah bertaburan, juga pekerja-pekerja pembersihan di kawasan berkenaan yang terpaksa mengemaskan kawasan berkenaan.

    Balingan objek dari atas juga menyebabkan penduduk mahupun orang ramai yang berjalan di bawah juga boleh mengundang bahaya apabila objek berkenaan boleh menyebabkan kecederaan, mahupun mengotorkan individu akibat simbahan air, air ludah atau apa sahaja sahaja.

    Hari ini, kes baling sebuah kerusi dari atas sebuah pangsapuri di Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang telah menyebabkan seorang remaja terbunuh ditimpa objek berkenaan telah viral di media sosial.

    Baru-baru ini pengalaman yang sama telah dialami oleh penulis apabila sebaik selesai melakukan tugasan di sebuah rumah pangsa di ibu kota, beratus-ratus helaian kertas berupa koyakkan helaian buku tulis, kertas-kertas nota dan sebagainya terbang melayang dari tingkas atas blok rumah pangsa 16 tingkat tersebut.

    Menurut Pengerusi Penduduk Rumah Pangsa Seri Sarawak, Kuala Lumpur, Mohd. Azmi Zakaria, kejadian membaling objek dari tingkat atas rumah pangsa itu boleh dikatakan agak sering berlaku di kawasan berkenaan.
    Ini termasuk sampah, batu, dan dan ada juga penukul besi.

    “Saya pun hairan mengapa mereka membuang sampah dan objek dengan sewenang-wenangnya, adakah mereka lakukan dengan senjaga atau tidak. Siapakah pelakunya. Adakah orang dewasa atau kanak-kanak atau mereka yang mengalami masalah hilang kewarasan mahupun kerana sikap mereka.

    “Kita akan sedaya upaya menyiasat perkara tersebut untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. Apabila kami siasat dan dapat dapat dikenal pasti individu yang melakukannya, mereka akan dikenakan tindakan.

    “Ini kerana membaling objek dari tingkat atas adalah amat membahayakan kerana dikhuatiri akan terkena kepada mereka yang berada di bawah, mencemarkan pemandangan sekeliling, tiada sivik dalam diri dan sebagainya,” katanya.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Bukan Sahaja Kertas, Penukul Besi Pun Boleh Terbang Di PPR "