• Bukan Hantu Tapi Orang

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    JAKARTA: Pengguna media sosial di Indonesia heboh dengan gambar wanita bermuka hitam dan berambut panjang yang dirakam ketika sepasukan polis membuat pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di sini, baru-baru ini.

    Gambar wanita dengan mata bersinar itu tular di media sosial sehingga ramai membuat andaian bahawa ‘makhluk’ itu hantu atau jin.

    Bagaimanapun, polis daerah Probolinggo Kota yang menjalankan operasi itu akhirnya terpaksa membuat penjelasan selepas gambar itu mencetuskan pelbagai spekulasi.

    Ketua polis daerah Probolinggo Kota, Alfian Nurrizal memberitahu, gambar itu dirakam ketika anggotanya membuat pemeriksaan berkaitan dadah di sebuah pusat karaoke pada 29 Disember lalu.

    Katanya, gambar itu asli tetapi imej menyeramkan itu bukannya hantu tetapi seorang wanita yang menutup wajahnya dengan selendang hitam.

    “Ketika pemeriksaan ada dua wanita yang cuba menutup wajah mereka daripada dirakam seorang anggota polis menggunakan kamera telefon bimbit.

    “Seorang wanita itu menutup mukanya dengan selendang hitam bermotif bunga yang jarang ketika anggota kami merakamkan gambar.

    “Matanya yang kelihatan bersinar itu adalah kesan lampu luar kamera di telefon bimbit,” katanya yang dipetik portal Liputan 6.

    Menurutnya, dia meminta pengguna media sosial tidak menyebarkan lagi gambar itu dengan membuat pelbagai spekulasi liar.

    “Kami berharap penjelasan ini menghentikan spekulasi dan orang ramai dinasihati berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih.

    “Kami tidak mahu spekulasi dan berita tidak benar seperti ini menimbulkan perasaan resah kepada orang ramai,” jelasnya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Bukan Hantu Tapi Orang "