• Budak 12 Tahun Tak Keseorangan Di KLIA2 - MAHB

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan kanak-kanak 12 tahun tidak ditinggalkan keseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) seperti dilaporkan sebuah artikel berita yang tular di media sosial.

    Sebaliknya, MAHB dalam kenyataan berkata kanak-kanak itu ditemani oleh satu pasangan dewasa.

    Pihak berkuasa lapangan terbang itu berkata rakaman kamera pengawasannya menunjukkan kanak-kanak perempuan itu dan pasangan dewasa berkenaan meninggalkan lapangan terbang dengan menaiki kereta kira-kira pukul 1.48 tengah hari.

    "Malaysia Airports bersimpati dengan masalah yang dihadapi Wan Fadillah Wan Ahmad dan anaknya pada 31 Disember lepas di KLIA2, bagaimanapun keutamaan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) adalah untuk memastikan protokol keselamatan dilaksanakan menurut peraturan ditetapkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

    "Protokol keselamatan yang ketat ini juga sejajar dengan Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan (NCASP) yang mana hanya dokumen perjalanan dan pengenalan asal dibenarkan untuk menaiki pesawat," katanya.

    MAHB berkata walaupun memahami kesukaran yang dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak terbabit, pihaknya tidak dapat berkompromi dalam hal ini kerana langkah-langkah sudah disediakan bagi keselamatan lapangan terbang untuk melindungi pintu masuk negara terhadap akses yang tidak selamat, untuk keselamatan individu serta syarikat penerbangan.

    "Adalah menjadi tugas kami untuk memastikan semua pengembara mempunyai dokumen perjalanan sebelum mereka dibenarkan menaiki sebarang pesawat. Kami memohon pemahaman orang awam mengenai peranan kami dalam melindungi keselamatan lapangan terbang," kata kenyataan itu dan menambah MAHB akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memperbaiki proses berkenaan.

    Pada Ahad, sebuah portal melaporkan seorang bapa kecewa dengan polis bantuan MAHB yang menyebabkan beliau terpaksa mengambil risiko meninggalkan anak perempuannya berusia 12 tahun keseorangan di KLIA2 tanpa pengawasan hampir sembilan jam.

    Portal itu melaporkan kejadian berlaku apabila seorang daripada tujuh anak lelaki itu tercicir MyKid ketika hendak mendaftar masuk penerbangan ke Kuching, Sarawak.

    Bapa kanak-kanak itu kemudian membuat laporan polis di KLIA2 namun anaknya tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan walaupun sudah menunjukkan laporan polis, salinan pasport dalam telefon bimbit dan salinan sijil surat beranak.

    Oleh kerana waktu penerbangan semakin hampir, lelaki terbabit terpaksa membuat keputusan meninggalkan anaknya berseorangan di KLIA2 sebelum beliau sendiri mendapatkan pasport anaknya di Kuching, dan terbang kembali ke Kuala Lumpur.-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Budak 12 Tahun Tak Keseorangan Di KLIA2 - MAHB "