• Buang Bayi Dalam Tandas Pesawat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    Polis Indonesia menahan penumpang wanita disyaki membuang bayi yang baru dilahirkannya di dalam tong sampah tandas pesawat yang dinaikinya, di Jakarta, semalam.

    Wanita berkenaan ditangkap selepas mayat bayi yang masih bertali pusat dan uri ditemui di dalam tandas pesawat Etihad Airways di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta.

    Mayat bayi lelaki itu ditemui pekerja pembersihan yang mahu membuang sampah di dalam tong sampah di tandas berkenaan.

    Jurucakap polis, Ahmad Yusep berkata, wanita itu bekerja di Timur Tengah selama empat tahun dan mahu pulang ke kampung halamannya di Cianjur Jawa Barat.

    Katanya, ketika disoal-siasat wanita itu mengaku dia hamil selepas menjalin hubungan sulit dengan bekas majikannya.

    Wanita itu juga memberitahu dia tidak berniat membuang bayinya dan bertindak demikian kerana panik.

    “Wanita ini menaiki penerbangan dari Abu Dhabi dan apabila pesawat itu transit di Bangkok, Thailand dia tiba-tiba sakit perut.

    “Dia terus masuk ke dalam tandas di pesawat itu dan terus melahirkan bayinya.

    “Bagaimanapun, dia panik dan bertindak membuang bayinya di dalam tong sampah,” katanya yang dipetik Liputan 6, hari ini.

    Menurutnya, wanita itu dirawat di hospital dan polis masih menunggu keadaannya bertambah sihat sebelum membuat siasatan menyeluruh.

    Tambahnya, wanita itu disiasat mengikut Undang-undang Perlindungan Anak dan berdepan hukuman penjara 15 tahun.-Liputan 6

    Subjects:

  • No Comment to " Buang Bayi Dalam Tandas Pesawat "