• Bongkar Kubur Rakan Curi 'Tali Pocong'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    Demi mahu keuntungan cepat menggunakan pelaris, seorang lelaki di Ciputat, Tanggerang, dekat Jakarta, sanggup menggali kubur teman baiknya yang baru sehari meninggal dunia untuk mencuri ‘tali pocong’ jenazah untuk dijadikan tangkal.

    Kejadian kubur di Pemakaman Taman Abadi itu dibongkar pada tengah malam Jumaat, 29 Disember lalu, menggemparkan orang ramai.

    Media Indonesia melaporkan, selepas seminggu siasatan, polis akhirnya menahan seorang lelaki, Mohammad Irpan, 35, Sabtu lalu.

    Siasatan mendapati lelaki itu bekerja sebagai pemandu van penumpang (teksi) di Jakarta dan mencuri tali pocong berkenaan selepas diberitahu seorang penumpang ia boleh dijadikan tangkal pelaris agar ramai penumpang menggunakan teksinya.

    Menurut laporan Liputan6, jenazah dalam kubur itu ialah Suhendra Solahi yang meninggal dunia kerana sakit pada 28 Disember dan malam esoknya, Mohammad ke perkuburan, menggali kubur sahabat baiknya itu.

    Keesokannya, keluarga Suhendra terkejut mendapati kuburnya dibongkar dengan tiga papan penutup di kepala, tengah dan kaki terbuka.

    Pemeriksaan bersama penjaga kubur serta polis mendapati tiga tali pengikat mayat iaitu di kepala, pinggang dan kaki hilang.

    Ketika soal siasat, Mohammad memberitahu polis, dia menggali kubur itu dengan dahan pokok rambutan dan tangannya selama tiga jam dari 12 tengah malam hingga 3 pagi.

    Menurutnya, dia tidak berasa takut ketika menggali kubur itu kerana Suhendra rakan baiknya dan selama empat bulan sebelum kematian mangsa, mereka sering bersama termasuk tidur di surau.

    Mohammad memberitahu pendapatan sebagai pemandu teksi hanya antara 30 ribu rupiah (RM9) sehingga 60 ribu rupiah (RM18) sehari.

    “Saya mengeluh kepada seorang penumpang mengenai pendapatan tidak seberapa dan penumpang itu mencadangkan saya menyimpang tali pocong sebagai pelaris.

    “Sebaik mendapat berita Suhendra meninggal dunia, saya nekad mengambil tali pocong pada jenazahnya,” katanya memberitahu polis.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Bongkar Kubur Rakan Curi 'Tali Pocong' "