• Bomba Sarawak Bakal Miliki Unit Pengesan Anjing K9

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    KUCHING – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bakal memiliki Unit Pengesan (K9) sendiri tahun ini.

    Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata mengikut jangkaan awal, Unit Pengesan K9 akan mula beroperasi pada April ini, namun segalanya masih menunggu keputusan akhir seperti proses tender dan perolehan anjing.

    “Mengikut rancangan awal,Unit Pengesan K9 itu akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Serian. Sebagai permulaan enam ekor anjing akan ditempatkan di lokasi tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Nor Hisham berkata kesemua anjing yang akan dilatih itu bakal memiliki kemahiran yang sangat diperlukan untuk membantu melancarkan setiap operasi pasukan bomba khususnya di Sarawak.

    “Antara kemahiran anjing dalam unit ini ialah boleh mencari dan menyelamat mangsa di air dan darat, menjalankan siasatan punca bahan petroleum dan mengumpul sampel bahan bukti bagi kebakaran serta mencari dan menyelamat mangsa terperangkap di bangunan runtuh,” katanya.

    Beliau berkata Unit Pengesan K9 amat diperlukan khususnya di negeri ini memandangkan banyak kes orang hilang dilaporkan bukan sahaja di darat, malahan di kawasan perairan (sungai).- BERNAMA
  • No Comment to " Bomba Sarawak Bakal Miliki Unit Pengesan Anjing K9 "