• BNM Beli Tanah RM2 Bilion

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membeli sebidang tanah seluas 22.58 hektar daripada kerajaan bernilai RM2 bilion yang akan digunakan untuk proses penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Kajian Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) yang baharu.

    Menurut BNM, tanah berkenaan terletak berhampiran Kompleks Sasana Kijang yang dilengkapi kemudahan persidangan dan latihan bertaraf antarabangsa serta me­nempatkan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Pusat Latihan dan Kajian Bank-Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dan Alliance for Financial Inclusion (AFI).

    Jelasnya, kawasan itu juga terletak berdekatan kompleks Asia School of Business baharu dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang sedang dibangunkan.

    “Selain menempatkan INCEIF dan ISRA, BNM juga akan membangunkan hab pendidikan kewangan dan kemudahan latihan yang menumpukan kepada ke­upayaan teknikal bagi bakat dalam industri kewangan di tanah tersebut pada masa depan,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, BNM membe­ritahu, keseluruhan kawasan ber­kenaan akan direka dan diintegrasikan untuk menjadi hab pendidikan per­khidmatan kewangan bertaraf dunia.

    “Hab ini dijangka menjadi pusat utama pembelajaran dan pendidikan antarabangsa untuk me­lahirkan kumpulan tenaga kerja tempatan secara berterusan bagi menyokong pembangunan industri kewangan domestik,” jelas BNM.

    Jelas BNM lagi, kos penilaian harga tanah itu adalah seperti yang dipersetujui bersama oleh bank pusat ber­kenaan dengan kerajaan berdasarkan penilaian yang dibuat oleh jurunilai harta­nah bebas yang dilantik.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " BNM Beli Tanah RM2 Bilion "