• BN Lancar Portal Khas PRU

    Published: Monday, 1 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Sebuah portal khas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di kenali TheRakyat akan dilancarkan Barisan Nasional (BN) mengandungi pelbagai maklumat termasuk mengenai calon parti itu.

    Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, dijangka melancarkan portal itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu ini.

    Seorang pengendali portal itu yang enggan dikenali berkata beberapa promosi kepada segmen sudah dilakukan menjelang pelancarannya.

    Beliau berkata semua maklumat dan profil calon BN akan dimuat naik secara berperingkat sebelum tempoh berkempen bermula bagi membolehkan pengundi mengetahui barisan calon BN di 222 kerusi Parlimen.

    Portal itu juga akan menampilkan tujuh segmen utama iaitu temubual, majalah, analisis, e-rakyat, infografik, rakaman audio serta manifesto BN.

    Perincian kandungan manifesto BN yang akan diumumkan kelak akan turut dipaparkan dalam portal berkenaan sekali gus membolehkan rakyat mengetahui tawaran BN pada PRU kali ini.

    Sesi wawancara yang akan menampilkan barisan pemimpin politik serta penganalisis politik akan disajikan.

    Selain itu, turut dimuatkan dalam portal itu, segmen buletin e-rakyat yang akan diterjemah dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil, Inggeris, Iban serta Kadazan Dusun.

    Orang ramai yang ingin mengikuti segala perkembangan isu dan berita pilihan raya boleh melayari portal itu menerusi http://therakyat.com bermula 8 malam Rabu ini atau mengikutinya menerusi pelbagai platform sosial termasuk Instagram dan Facebook.

    Selepas pelancaran portal itu, difahamkan, Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan persiapan PRU akan datang.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " BN Lancar Portal Khas PRU "