• BN jangka pertahan kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka mempertahankan empat kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain berpeluang menawan tiga kerusi yang sebelum ini disandang calon PKR.

    Empat kerusi itu ialah Putrajaya, Labuan, Titiwangsa dan Setiawangsa, manakala tiga kerusi yang bakal ditawan ialah Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.

    Kerusi Bandar Tun Razak yang dimenangi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menjadi kerusi BEBAS selepas bekas Menteri Besar Selangor itu bertindak keluar parti.

    Penguasaan BN ke atas kerusi Putrajaya dan Labuan dijangka tidak tergugat walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru kerana masing-masing menang sebanyak 35 dan 27 peratus pada PRU-13.

    Kedua-dua kerusi yang masing-masing memiliki 95 dan 49 peratus pengundi Melayu itu dijangka dimenangi dengan majoriti undi sekitar 6,000.

    Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata berdasarkan pemerhatian terhadap sokongan pengundi di 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan, BN mampu mempertahankan Titiwangsa dan Setiawangsa dengan majoriti undi sekitar 1,000 dengan syarat berlaku pertandingan tiga penjuru.

    Beliau berkata, syarat tiga penjuru perlu dipenuhi kerana kedua-dua kerusi itu diperoleh BN dengan kemenangan tipis sebanyak dua peratus saja.

    "BN boleh menang di Setiawangsa, Labuan dan Putrajaya kerana tiga kerusi ini dimenangi pada PRU-12 dan PRU-13.

    "Kerusi Titiwangsa hanya dirampas BN dari PAS pada PRU-13. Kerusi itu dimenangi PAS pada PRU-12 dengan majoriti 1,972 undi," katanya.

    Ainul Adzellie berkata, BN berpotensi menawan kerusi Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak yang dianggap kawasan kelabu bagi parti itu dengan syarat berlaku pertandingan tiga penjuru dan tambahan syarat bagi kerusi Bandar Tun Razak yang mesti ditandingi calon UMNO.

    Beliau berkata, pada PRU lalu, BN tewas masing-masing -3 peratus dan -8 peratus di kerusi Lembah Pantai dan Wangsa Maju.

    "Saya melihat PAS berpeluang menang hanya tiga daripada 13 kerusi Wilayah Persekutuan iaitu di Lembah Pantai, Titiwangsa dan Bandar Tun Razak. PAS pernah menang di Titiwangsa dan parti itu boleh menawan di Bandar Tun Razak jika BN meletakkan calon MCA, bukan UMNO," katanya.

    Sebelum ini PAS pernah menyatakan hasrat bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Lembah Pantai, Putrajaya, Labuan, Setiawangsa, Titiwangsa, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Batu dan Segambut.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " BN jangka pertahan kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan "