• BN Beri Guan Eng Dokumen Rujukan

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menyerahkan beberapa dokumen berkaitan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirangka di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

    Dokumen yang digunakan BN Pulau Pinang sebagai rujukan dalam memberi kenyataan balas berhubung projek mega dianggarkan bernilai RM6.3 bilion itu, diserahkan Naib Ketua Pemuda BN negeri, Jason Loo, di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, pagi tadi.

    Jason berkata, tindakan itu bertujuan memberi peluang kepada Guan Eng membuat rujukan semula, sekali gus menjadi 'talian hayat' kepada Setiausaha Agung DAP itu daripada mengemukakan kenyataan bercanggah berhubung projek terbabit.

    "Dokumen ini mengandungi beberapa kenyataan dikemukakan Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dikumpul BN negeri, sejak 2013 lagu. Kita turut lampirkan beberapa kenyataan bercanggah dikemukakan beliau.

    "Guan Eng kini dilihat seolah-olah hilang punca ketika memberi jawapan balas kepada pelbagai perkara berbangkit mengenai isu ini. Justeru, beliau wajar merujuk dokumen ini untuk mengimbau kembali memori lampaunya," katanya pada sidang media.

    Terdahulu, Jason menyerahkan dokumen itu kepada Pembantu Penerangan Kerajaan DAP Pulau Pinang, Danny Ooi Eng Keat, selepas Jason dihalang memasuki KOMTAR untuk berjumpa secara terus dengan Guan Eng.

    Semalam, Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow dan Guan Eng mahu menyaman satu sama lain ekoran projek mega yang dijangka dibina pada tahun 2023 nanti, dengan kedua-dua mereka saling mencabar menerusi kenyataan media.

    Pada masa sama, Jason turut memulangkan kembali tiga salinan asal surat tuntutan guaman dikemukakan Guan Eng ke atasnya, berhubung isu penjualan tanah di Jalan Peel di sini, bagi pembinaan projek mega Medical City.

    "Ia bagi memastikan Guan Eng dapat meneliti semula surat ini dan merangka tindakan lanjut selepas pihaknya masih gagal memberi sebarang maklum balas berkaitan tuntutan terbabit, sejak ia dikemukakan masing-masing pada 23 Jun dan 17 Julai lalu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " BN Beri Guan Eng Dokumen Rujukan "