• Bicara Kes Rasuah Guan Eng 23 Hari

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, menetapkan perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon akan berlangsung selama 23 hari bermula 26 Mac depan.

    Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail, menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan menyatakan akan mengemukakan 40 saksi sepanjang tempoh perbicaraan.

    Hadhariah kemudiannya menetapkan tarikh bermula pada 26 Mac - 30 Mac; 9 April - 12 April; 23 April - 27 April; 7 Mei - 10 Mei, dan 21 Mei - 25 Mei sebagai tarikh perbicaraan kedua-dua kes rasuah Guan Eng dan Li Koon.

    "Semua tarikh ini mesti diteruskan, tidak seperti tahun lalu, kerana semuanya sudah selesai.

    "Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan lima saksi setiap hari pada sesi perbicaraan," katanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memberitahu mahkamah pihaknya akan melakukan pindaan kecil dalam kertas pertuduhan.

    Katanya, pertuduhan baharu itu akan dibacakan di hadapan kedua-dua tertuduh pada hari pertama perbicaraan iaitu pada 26 Mac depan.

    Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, manakala Li Koon diwakili Datuk V Sithambaram.

    Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak hadir pada sesi pengurusan kes hari ini.

    Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

    Bagi dua pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

    Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bicara Kes Rasuah Guan Eng 23 Hari "