• Bekas pegawai polis, isteri didakwa

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+
    KEMAMAN 2 Jan. - Seorang bekas Inspektor Polis dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang peniaga sebanyak RM140,000 dalam skim pelaburan permodalan hartanah yang tidak wujud, dua tahun lalu.

    Mohd. Salam Zainal Abidin, 31, yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdi.

    Isterinya, Nurul Shahila Saayan, 28, yang merupakan suri rumah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat.

    Mohd. Salam yang kini bekerja sebagai penolong pegawai keselamatan sebuah syarikat penerbangan tempatan didakwa memperdaya mangsa melalui Zamri Ismail untuk menyerahkan wang tunai RM140,000 bagi dilaburkan dalam skim pelaburan permodalan hartanah.

    Mangsa dikatakan terdorong untuk menyerahkan wang berkenaan setelah diperdaya kedua-dua tertuduh kononnya boleh mendapat keuntungan daripada skim pelaburan palsu tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Kemaman di sini pada pukul 11.48 pagi, 25 Mei 2016.

    Nurul Shahila pula didakwa bersuhabat menipu mangsa sama melibatkan amaun, lokasi dan masa sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Badrul Munir membenarkan Mohd. Salam dan Nurul Shahila masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Beliau juga mengarahkan pasangan suami isteri itu yang menetap di Jalan Kelab, Sepang, Selangor menyerahkan pasport masing-masing kepada pihak mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

    Nurul Shahila membayar wang jaminan manakala Mohd. Salam pula gagal melunaskannya, dan ditahan di dalam lokap Penjara Marang.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadli Mahmud sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Nasir Yusof dan Mohd Fauzi Abdul Samad. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas pegawai polis, isteri didakwa "