• Bebas Palestin, Bebas Al-Aqsa

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+


    KIRA-kira 100,000 umat Islam dijangka hadir pada Himpunan Munajat Aqsaku bagi mendoakan kesejahteraan dan pembebasan Palestin termasuk Masjid Al-Aqsa daripada kezaliman Zionis di Dataran Putrajaya, berdepan Masjid Putra di sini, 27 Januari ini.

    Himpunan berkenaan adalah satu daripada acara utama penganjuran Festival MyAQSA anjuran Yayasan MyAQSA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula 26 hingga 28 Januari.

    Pengarah Sekretariat Festival MyAQSA Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata, dua lagi acara yang diadakan sempena festival berkenaan ialah Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis serta Ekspo Aqsaku.

    “Bagi acara himpunan, ia adalah kemuncak Festival MyAQSA diadakan bermula 2 petang dengan beberapa siri kuliah dan soal jawab agama oleh ulama selebriti, pidato daripada tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persembahan kesenian.

    “Seterusnya, solat Maghrib dan sesi munajat khas Baitulmaqdis dijangkakan dipimpin oleh Imam Masjid Al-Aqsa bersama kehadiran ulama yang menyertai Persidangan Meja Bulat MyAQSA,” katanya pada sidang media Pra Pelancaran Festival MyAQSA di Putrajaya hari ini.

    Prapelancaran itu disempurnakan Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha dan Presiden Kesatuan Ulama Palestin Diaspora di Malaysia Sheikh Dr Ahed Abu Alatta.

    Dr Noorazman berkata, majlis himpunan itu akan diakhiri pidato perdana disampaikan oleh tokoh besar ulama dunia termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    “Pihak kami menyeru seluruh umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan turun bersama ulama seluruh dunia iaitu berhimpun memenuhi Dataran Putrajaya dan bermunajat kepada Allah SWT supaya melindungi Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa daripada diceroboh dan dikuasai Zionis,” katanya.

    Berhubung Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis, beliau berkata, ia akan dihadiri lebih 100 ulama dari hampir 30 negara manakala lebih 50 ulama dalam negara dijangka menyertai acara itu termasuk mufti setiap negeri.

    “Resolusi yang bakal diputuskan pada persidangan ini akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejurus selesai acara itu pada 28 Januari,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bebas Palestin, Bebas Al-Aqsa "