• Bawa Masuk 30,000 Buruh Kemboja Atasi Kekurangan Buruh Di Sarawak

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    SERIAN: Sekurang-kurangnya 30,000 pekerja asing dari Kemboja sedang diusahakan dibawa masuk ke Sarawak untuk ditempatkan dalam sektor perladangan kelapa sawit.

    Menteri Sumber Manusia, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, ia bagi mengatasi kekurangan buruh yang kritikal dalam industri perladangan kelapa sawit di negeri ini, terutamanya bagi penuaian buah tandan segar kelapa sawit.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, beliau akan pergi ke Kemboja untuk kali ketiga pertengahan bulan ini bagi membincangkan mengenai perkara tersebut ekoran keperluan mendesak buruh dari negara itu terutamanya bagi kerja memetik tandan segar kelapa sawit.

    "Saya akan pergi ke Kemboja untuk kali ketiga pada pertengahan bulan ini untuk membincangkan perkara ini.

    "Kita sangat memerlukan pekerja asing dari Kemboja untuk mengisi keperluan buruh di ladang kelapa sawit di Sarawak kerana kalau tidak, kerajaan negeri khususnya akan mengalami kerugian dari segi hasil buah tandan segar kelapa sawit yang mencecah RM2 bilion setahun," katanya.

    Riot yang juga Ahli Parlimen Serian memberitahu, industri perladangan kelapa sawit di Sarawak selama ini adalah bergantung tenaga buruh daripada Indonesia.

    Bagaimanapun, katanya tenaga buruh tersebut sekarang telah berkurangan dengan ketara disebabkan oleh pembukaan ladang kelapa sawit yang meluas di Indonesia.

    Jelasnya, ia telah menarik ramai pekerja Indonesia di Sarawak pulang untuk bekerja dalam sektor berkenaan di negara mereka sendiri atas faktor upah yang setaraf malah lebih tinggi daripada yang ditawarkan di Malaysia.

    Menurutnya lagi, pada masa ini, jumlah pekerja asing dalam industri perladangan kelapa sawit di Sarawak hanya tinggal 163,000 orang, sebilangan besarnya warganegara Indonesia. – Sarawakiana

  • No Comment to " Bawa Masuk 30,000 Buruh Kemboja Atasi Kekurangan Buruh Di Sarawak "