• Bawa Anak Beli Dadah

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    TUMPAT: Helah seorang bapa kononnya keluar bersiar-siar bersama anak perempuannya berusia dua tahun terbongkar, apabila ditahan sedang melakukan urusan membeli dadah.

    Suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan di sebuah rumah bersama lapan lagi penagih termasuk seorang yang dipercayai tokan dadah di Kampung Tok Malek, Wakaf Bharu oleh sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tumpat.

    Dalam serbuan jam 4 petang semalam berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 40 tahun dan hasil ujian saringan semuanya positif dadah.

    Penolong Pengarah Penguatkuasa AADK Kelantan, Aman Mustafa, berkata 400 biji dadah jenis Eramin 5, dan tujuh biji Estacy bernilai RM4,000 dirampas milik tokan dadah berusia 34 tahun termasuk wang tunai berjumlah RM1,270.

    Katanya, lokasi serbuan dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan aktif bermula jam 7 pagi hingga 11 malam.

    "Rumah itu dihuni dua beradik, iaitu abang yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan manakala adiknya melarikan diri.

    "Kami melakukan risikan selama tiga minggu dan menghadapi sedikit kesukaran kerana lokasi rumah terletak di tepi jalan dan ada 'mata' yang memantau.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya ketika ditemui di pejabat AADK Tumpat, hari ini.

    Sementara itu, seorang remaja berusia 18 tahun yang ingin dikenali sebagai Faizal, berkata dia mengambil dadah jenis ganja sejak tahun lalu daripada seorang rakan.

    Dia yang berasal dari Berek 12, Kota Bharu mengakui mengambil dadah itu sebulan sekali bagi menghilangkan tekanan akibat masalah keluarga.

    "Sebulan sekali saya ambil ganja dengan harga RM20 untuk hilangkan tekanan kerana saya menghadapi masalah termasuk keluarga," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bawa Anak Beli Dadah "