• Baucar Ganti Duit Menang Judi

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    Sindiket perjudian mengubah taktik dengan memberi baucar kepada individu bagi menuntut wang kemenangan sekali gus mengelak daripada menanggung kerugian besar jika premis diserbu pihak berkuasa.

    Taktik itu terdedah pada serbuan dijalankan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sebuah premis di Taman Selayang Segar di sini, hari ini.

    Berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga, premis terbabit yang baru beroperasi awal Januari ini menjadi tumpuan kaki judi di sekitar kawasan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, setiap pemenang akan diberi baucar dan ia boleh dituntut daripada pekerja sindiket sentiasa berada berhampiran kawasan berkenaan.

    “Pada serbuan itu, kami menahan sembilan lelaki termasuk seorang penjaga premis berusia 30 hingga 60 tahun yang leka bermain mesin judi.

    “Kami turut merampas tiga mesin judi dan wang RM150. Individu ditahan dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Baucar Ganti Duit Menang Judi "