• Bau Badan Busuk 'Khianati' Pencuri

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    Bau badan busuk menjadi petunjuk kepada polis untuk mengesan dan menahan seorang lelaki yang mencuri gajet termasuk 10 tablet, telefon dan wang tunai daripada pelanggan sebuah kafe di Henan, China.

    Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki mencuri barangan terbabit daripada pelanggan kafe internet bertemakan filem di Luoyang, Henan, hujung bulan lalu.

    South China Morning Post yang memetik Iqilu.com melaporkan, lelaki itu bijak menyembunyikan wajahnya daripada dirakam malah dilihat mengelap setiap permukaan yang disentuhnya bagi membuang kesan cap jari.

    Keadaan itu menyebabkan polis sukar mengesannya namun lelaki berkenaan kemudian menggunakan telefon dicurinya untuk aplikasi pembayaran mobil ketika membeli baju.

    Memandangkan pemilik telefon berkenaan juga melaporkan kecurian, polis menjejak kedai baju terbabit dan rakaman CCTV menunjukkan suspek meninggalkan premis sambil membawa baju lamanya dalam beg.

    Namun, perkara sebenar membawa kepada penahanannya ialah bau baju lamanya yang terlalu busuk, sama seperti bau busuk yang dihidu dalam kafe internet tempatnya mencuri.

    Polis tidak berputus asa, bergerak dari satu kafe ke kafe lain di bandar berkenaan sehingga akhirnya seorang pemilik berjaya mengenal pasti suspek.

    Seorang anggota polis berkata: “Suspek kerap ke kafe internet itu dan dia diketahui berbau busuk.

    “Malah pemilik premis sering memintanya mandi sebelum masuk ke situ kerana pelanggan lain tidak tahan dengan baunya.”

    Pengguna kafe internet China diwajibkan mendaftar menggunakan kad pengenalan membolehkan polis mengesan dan menahannya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Bau Badan Busuk 'Khianati' Pencuri "