• Basikal Zirafah

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Basikal Zirafah. Itulah nama diberikan penduduk kepada basikal tinggi kerana keunikannya berbanding basikal lain selepas diubah suai seorang lelaki.

    Berikutan keunikannya itu, basikal berkenaan sering mendapat perhatian orang ramai setiap kali digunakan untuk bersiar-siar di sekitar bandar raya ini.

    Pemiliknya, Mohd Sahara Iskandar Mat Ali, 42, dari Kampung Laut berkata, orang ramai memang tertanya-tanya tujuan dia mengubah suai basikal itu, namun rakan yang mengenalinya mengetahui kreativitinya mencipta atau mengubah suai sesuatu semata-mata untuk kepuasan diri.

    Menurutnya, dia mengubah suai basikal itu sejak enam bulan lalu dan idea itu terhasil apabila melihat basikal unik yang digunakan pelawak terkenal Charlie Chaplin.

    “Jika diikutkan saya ingin mencipta basikal yang seakan-akan basikal digunakan legenda pelawak antarabangsa itu tetapi kekurangan peralatan dan bahan menyebabkan hasrat itu tidak kesampaian.

    “Tujuan saya mencipta basikal itu bukan untuk mendapatkan perhatian atau untuk ditularkan di laman sosial, tetapi lebih kepada minat dan memperoleh kepuasan diri.

    “Oleh itu, basikal unik ini lazimnya hanya digunakan pada waktu malam kerana tidak mahu terlalu meraih perhatian masyarakat sekeliling,” katanya.

    Mohd Sahara berkata, dia hanya menggunakan barangan terpakai untuk mencipta basikal itu dengan dibantu rakan baiknya yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

    “Sebelum ini, saya pernah mencipta basikal panjang dengan menyambung dua basikal sekali gus, tetapi ia tidak meraih perhatian ramai seperti Basikal Zirafah ini.

    “Bagi yang tidak biasa dan pertama kali melihat ‘Basikal Zirafah’ ini, mereka akan bertanya mengenai perasaan saya ketika menunggangnya sama ada berasa gayat atau sebagainya,” katanya yang mengusahakan kedai makan dan pakaian terpakai.

    Menurutnya, dia menggunakan basikal itu untuk bersiar-siar pada waktu malam di sekitar bandar raya selain digunakan untuk ke kedai makan miliknya di pusat bandar raya..

    “Paling jauh saya pernah berkayuh menggunakan basikal itu ke Marang sejauh 35 kilometer pergi dan balik tanpa henti.

    “Uniknya basikal yang diubah suai ini tidak memenatkan walaupun berkayuh agak jauh selain memberi pengalaman berbeza berbanding basikal biasa,” katanya.

    Sementara itu, isterinya, Yuhasliza Yusof, 35, berkata, dia sentiasa memberi dorongan kepada suaminya kerana sedia maklum dengan minat dan kreativiti dimiliki suaminya itu.

    “Pada 2014 suami pernah mengubah suai basikal panjang dan apabila dia ubah suai basikal tinggi tentunya ia tidak mengejutkan saya, malah yakin selepas ini akan ada ciptaan terbaru dihasilkannya yang mungkin lebih unik dan pelik,” katanya.

    - Harian Metro

    Subjects:

  • No Comment to " Basikal Zirafah "