• Bantu Pendidikan Anak Kami - Ketua Rohingya Malaysia

    Published: Sunday, 21 January 2018
    A- A+



    KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Rohingya Kebangsaan, Majlis Rohingya Malaysia (MRM) yang baru ditubuhkan akan menumpukan kepada usaha pemerkasaan program jangka panjang etnik Rohingya, terutama dalam bidang pendidikan.

    Ini bagi membolehkan anak-anak Rohingya di negara ini bersedia untuk kembali ke Myanmar atau ditempatkan di negara ketiga kelak.

    Ketua Rohingya Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Ghani yang baru dipilih mengetuai jawatankuasa itu hari ini berkata, selama ini komuniti pelarian dari Myanmar itu hanya bergantung kepada sistem pendidikan tidak formal diuruskan badan bukan kerajaan (NGO).

    Zafar Ahmad, 47, yang juga Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) berkata, sudah tiba masanya anak-anak Rohingya memasuki sistem pendidikan lebih tersusun.

    "Kami lama duduk sini dan tak tahu bila boleh balik Myanmar atau pergi ke negara ketiga nanti.

    "Jadi, kami minta rakyat dan kerajaan Malaysia lihat isu pendidikan untuk anak-anak Rohingya. Kami juga minta kerajaan beri kami dokumen supaya boleh bekerja secara sah di Malaysia," katanya kepada BH dan NST di Persidangan Khas Jawatankuasa Rohingya Kebangsaan MRM di Dewan FELCRA Setapak, di sini hari ini.

    Zafar Ahmad mengetuai 14 wakil Rohingya yang dipilih kira-kira 200 wakil pelarian etnik Rohingya di dalam jawatankuasa itu yang juga satu daripada lima majlis atau jawatankuasa di bawah MRM yang ditubuhkan sejak Oktober tahun lalu.

    MRM adalah badan gabungan 25 NGO berkaitan Rohingya yang bertujuan memperkasakan etnik pelarian itu di Malaysia memandangkan pelarian tidak boleh menubuhkan persatuan di negara ini.

    "Kami juga minta Malaysia untuk terus menerajui isu Rohingya di peringkat ASEAN, Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) dan antarabangsa kerana Malaysia negara pertama yang suarakan isu pelarian Rohingya di rantau Asia," kata Zafar Ahmad yang turut berterima kasih dengan kerajaan Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Malaysia adalah negara pertama menghantar bantuan kemanusiaan ke Cox's Bazar selepas krisis kemanusiaan berlaku di selatan Bangladesh September lalu akibat konflik di barat Myanmar selain turut menghantar kapal flotilla kemanusiaan ke Myanmar dan Bangladesh pada Februari 2017.

    Lebih 650,000 etnik Rohingya melarikan diri dari wilayah Rakhine di barat Myanmar ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu akibat operasi berdarah tentera Myanmar, dengan sekurang-kurangnya 75,000 etnik Rohingya dan Muslim Myanmar mencari perlindungan di Malaysia. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Bantu Pendidikan Anak Kami - Ketua Rohingya Malaysia "