• Bank Negara mungkin naikkan OPR kepada 3.25%

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+
    Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 3.25 peratus pada Khamis, dalam usaha untuk menambat jangkaan inflasi, kata ahli ekonomi Bloomberg, Tamara Mast Henderson.

    Dalam satu kenyataan, beliau berkata Bloomberg berpendapat langkah itu selari dengan unjuran median dalam kaji selidik Bloomberg, namun ketidaktentuan pasaran membabitkannya nampak tinggi.

    "Tinjauan itu menunjukkan penganalisis berbelah-bahagi ke atas keputusannya, dengan ramai melihat bank pusat tidak dapat bertindak menjelang pilihan raya umum yang masih belum dijalankan," katanya.

    Henderson berkata pertumbuhan Malaysia pada 2017 kukuh, pada kira-kira 5.8 peratus, mengikut anggaran konsensus Bloomberg berbanding 4.2 peratus pada 2016, manakala inflasi hampir dua kali ganda kepada 3.9 peratus tahun ke tahun dari Januari-November berbanding dua peratus pada 2016.

    Unjuran bagi 2018 kekal kukuh, katanya, dengan perbelanjaan isi rumah disokong oleh langkah-langkah baharu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa membeli.

    "Bagi negara penghasil minyak ini, kenaikan harga minyak yang mendadak menyokong pertumbuhan eksport, sekurang-kurangnya untuk separuh pertama, jika tidak lebih lama. Ia juga mencetuskan permintaan yang lebih tinggi, selain tekanan harga kos dan harga," katanya.

    Sementara itu, Henderson berkata BNM memberi amaran mengenai dasar monetari yang lebih ketat pada masa hadapan.

    "Bagaimanapun, prospek 2018 mempunyai cabarannya. Pilihan raya yang semakin dekat dan hasil bon global yang lebih tinggi, mungkin menghalang pelaburan.

    "Pembaharuan dan potensi pertumbuhan yang lebih rendah di China mungkin melemahkan harga minyak dan jumlah eksport. Kesan pemotongan cukai dan habuan oleh kerajaan Malaysia akan pudar tanpa langkah baharu untuk tahun depan, yang menunjukkan bahawa skop pengetatan dasar adalah terhad, " katanya.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bank Negara mungkin naikkan OPR kepada 3.25% "