• Banjir termenung, 4 sekolah di Sarawak belum buka

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+


    KUCHING: Hujan berterusan di kawasan pedalaman menyebabkan empat sekolah di negeri ini terus ditutup hari ini, apabila paras banjir masih di tahap berbahaya.

    Penutupan sekolah itu menyebabkan seramai 287 murid tidak dapat bersekolah untuk tempoh seminggu.

    Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dua sekolah yang ditutup hari ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bong dan SK Kuala Bok, kedua-duanya di daerah Baram, Miri.

    Dua lagi sekolah yang masih ditutup sejak Isnin lalu ialah SK Nanga Bon, Sibu dan SK Kuala Kenyana di Mukah.

    "Jumlah sekolah yang ditutup hari ini berkurangan berbanding lima semalam, namun jumlah sekolah yang terjejas masih tinggi iaitu 21 sekolah.

    "Ia membabitkan lima di Subis, Baram (4), Tatau (4), Selangau (3), Miri (2), Kanowit (1), Sebauh (1)dan Bintulu (1), namun semua sekolah ini dibenarkan beroperasi," katanya.

    Sekolah terbabit ialah SK Sungai Manong, SK Rumah Goyang, SK Rumah Ranggong, SK Kampung Bulau dan SK Kampung Tegageng di Subis; SK Sungai Kelabit dan SK Sungai Seputi di Miri; SK Pengarah Enteri, SK Sungai Peking, SK Long Teru dan SK Sungai Bain di Baram.

    Turut terjejas, SK Sungai Anak, SK Sungai Buloh dan SK Iban Union di Selangau; SK Sungai Tuah di Kanowit, SK Ulu Segan di Bintulu dan SK Sungai Genaan di Sebauh.

    "Kawasan Tatau menunjukkan peningkatan apabila empat dilaporkan terjejas berbanding hanya dua, semalam.

    "Secara keseluruhan, seramai 2,340 murid terbabit dalam banjir di Sarawak hari ini dan jumlah itu menurun berbanding 2,620 semalam," katanya.

    Sementara itu, beliau berkata 25 penempatan penduduk di kawasan pedalaman Bahagian Miri dilaporkan terjejas akibat banjir hari ini.

    "Bagaimanapun tiada pemindahan dilakukan kerana air tidak memasuki rumah penduduk sebaliknya hanya menenggelami jalan serta kawasan sekitarnya.

    "Pemantauan berterusan dijalankan untuk memastikan bantuan segera dapat disalurkan berikutan paras air masih bertahan di kebanyakan kawasan," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Banjir termenung, 4 sekolah di Sarawak belum buka "