• Banjir Jejaskan Petani, Penternak Di Sebauh

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    BINTULU: Banjir yang melanda Pekan Sebauh, di sini baru-baru ini mendatangkan mendatangkan kerugian besar kepada komuniti petani dan penternak setempat, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

    Tinjauan BH mendapati sebahagian besarnya menyatakan kebimbangan kerana hasil pertanian mereka, terutama membabitkan kelapa sawit mengalami kerosakan selepas kawasan ladang ditenggelami banjir selama lebih seminggu.

    Malah, ada dalam kalangan penternak pula bimbang dengan penularan penyakit bawaan air yang mungkin menjejaskan kesihatan haiwan ternakan mereka, terutama lembu dan kambing,

    Bagi salah seorang petani terjejas, Moses Rayim, beliau dan rakannya turut bimbang dengan banjir gelombang kedua yang mungkin berlaku dalam tempoh terdekat berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

    "Dalam banjir sebelum ini, semua tanaman sayur yang diusahakan rosak selepas ditenggelami banjir dalam tempoh agak lama. Ini diburukkan lagi apabila saya dan keluarga tidak dapat menuai tandan sawit selepas kawasan ladang turut ditenggelami banjir.

    "Ada tandan sawit yang busuk kerana tidak dapat dituai dan dikeluarkan dari ladang. Ini tentunya menjejaskan sumber pendapatan kami yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti pertanian," katanya ketika ditemui hari ini.

    Beliau berharap kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu golongan petani, peladang dan penternak bagi meringankan beban ditanggung mereka susulan banjir yang berlaku.

    Rakan Moses, Peringga Tero yang mengusahakan ternakan burung puyuh, berkata ada di antara haiwan ternakannya mati dalam banjir sebelum ini hingga menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian besar.

    "Mujur saya sempat memindahkan ternakan ke kawasan lebih tinggi dan selamat sebelum paras banjir mencapai tahap membahayakan. Kita berharap pihak kerajaan dapat mempercepatkan penyaluran bantuan kepada kami di sini," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Banjir Jejaskan Petani, Penternak Di Sebauh "