• Baitulmaqdis Bukan Milik Zionis Israel

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Baitulmaqdis tidak seharusnya dimonopoli satu pihak iaitu rejim zionis Israel, sebaliknya perlu dijadikan wilayah yang dimiliki tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

    Ia juga tidak seharusnya dilihat sebagai isu membabitkan umat Islam tetapi isu kemanusiaan yang turut membabitkan penindasan ke atas penganut agama kristian yang menetap di wilayah konflik itu.

    Penasihat Persatuan Nexgen Kristian Malaysia (ANCOM), Jason Leong, berkata tindakan zionis yang menggunakan kitab Injil kononnya wilayah itu, tanah dijanjikan kepada kaum Yahudi adalah salah.

    Katanya, dakwaan itu tidak boleh disokong kitab Injil yang dijadikan sandaran zionis Israel untuk mengambil tanah Palestin dengan mengenepikan keadilan dan melakukan penindasan.

    "Tak boleh gunakan tuntutan ke atas sesuatu wilayah dengan mengenepikan pihak lain. Itu terlalu 'simplistic' kerana Injil menyeluruh. Ia adalah hadiah, bagaimanapun dengan syarat.

    "Perlu melakukan keadilan. Kalau dipisahkan dengan syarat itu, mereka (zionis Israel) tak bertanggungjawab bukan hanya pada manusia tapi Tuhan," katanya di Forum "Understanding The Jerusalem Contention" di Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) di sini hari ini.

    Jason antara panel jemputan forum anjuran IAIS, Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang dihoskan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

    Mengulas lanjut mengenai isu Baitulmaqdis, Jason berkata:

    "Pendirian (gereja kristian di Malaysia) adalah isu Baitulmaqdis (Jerusalem) adalah isu umat Islam, bukan isu kristian. Ini masa yang sesuai untuk menilai semula".

    Forum itu membincangkan mengenai isu Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Disember lalu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

    Sementara itu, Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar, yang membentangkan latar belakang konflik Israel-Palestin, menegaskan tiada apa yang baharu dalam pengumuman Trump kerana AS sememangnya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israsel sejak 1995.

    Katanya, pengumuman Trump itu hanya membuktikan bahawa penyelesaian dua negara yang dicanangkan AS dan disokong masyarakat dunia sejak sekian lama, tidak boleh dilakukan apatah lagi negara itu bersikap berat sebelah.

    "Penyelesaian dua negara hanyalah mitos. Di manakah kita nak membentuk negara Palestin, ketika Israel sudah ambil semua kawasan," katanya mencadangkan penyelesaian satu negara yang didiami penganut tiga agama terbabit.

    Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, pula menyifatkan isu Baitulmaqdis mengaibkan Trump dan rakyat Amerika apabila hanya tujuh negara kecil di Amerika Latin dan Pasifik (tidak termasuk Israel) yang menyokong keputusan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

    Sebanyak 128 negara menentang, 35 berkecuali, 21 negara tidak mengundi dan hanya sembilan negara menyokong keputusan Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis Timur di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    "Saya kira 21 negara yang tidak mengundi itu sebenarnya bersimpati pada perjuangan Palestin," katanya yang menjelaskan sentimen dunia kini bersama Palestin.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Baitulmaqdis Bukan Milik Zionis Israel "