• Bahaya Serangan Pemikiran Kepada Umat Islam

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    Umat Islam pada masa kini berdepan pelbagai bentuk serangan pemikiran termasuk kemunculan ajaran meragukan dan pentafsiran semula nas agama yang mengelirukan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bentuk serangan pemikiran ini dikesan datang dari luar dan bukannya dari dalam negara.

    "Ada juga pihak yang menyerang pemikiran Islam dalam bentuk meragukan yang selama ini bersandarkan hadis sahih (thabit).

    "Malah ada juga yang mentafsirkan semula nas agama dan menggalakkan ijtihad (penyelidikan serius oleh sarjana Islam) yang baru," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam anjuran Majlis Perundingan Islam (MPI) di Putrajaya, hari ini.

    Katanya, bentuk serangan lain termasuk mengangkat sisi praktikal sosiologi melalui fahaman pluralisme, hubungan rentas agama dan aktiviti yang meraikan hak golongan yang didiskriminasi seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT).

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPI berkata, bentuk serangan pemikiran itu juga mengundang kemunculan pelbagai ajaran sesat di mana tahun lalu saja sebanyak 17 ajaran sesat baru dikesan aktif di negara ini.

    Menurutnya, mengikut statistik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), 19 daripada 39 ajaran sesat dikesan masih lagi aktif dan ia membimbangkan negara.

    Dalam itu, Ahmad Zahid berkata, beliau melihat tiada lagi adab terutama dalam menangani perbezaan pendapat sebaliknya ia disebar secara semberono melalui media sosial.

    "Tiada lagi aspek Islamiah dan nilai Islam diterapkan dalam proses mengeluarkan pendapat itu malah, ia tidak berpijak kepada keimanan dan ketakwaan," katanya.

    Justeru, katanya, aktiviti dakwah menerusi media baru dan konvensional perlu diadun bersama.

    "Jika kita melayani perbezaan pendapat ini dengan baik tidak mustahil kita akan mencapai titik kebersamaan," katanya.

    Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Ketua Kluster Ekonomi MPI yang baru menggantikan Tan Sri Muhamad Ali Hashim yang meninggal dunia Oktober tahun lalu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bahaya Serangan Pemikiran Kepada Umat Islam "