• Azizulhasni Ketuai Cabaran Negara Di ACC

    Published: Saturday, 6 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran Malaysia berdepan cabaran 19 negara lain pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, bulan depan.

    Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan 20 negara sudah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-48 perlumbaan yang dijadualkan dari 16 hingga 20 Februari.

    "Sehingga tarikh tutup, 20 negara termasuk kuasa besar Asia seperti Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan Kazakhstan sudah mengesahkan penyertaan.

    "Bagaimanapun kita masih menanti pengesahan penyertaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan India dengan memberi ruang sehingga hujung bulan ini. Kejohanan dijangka akan membabitkan lebih 500 peserta," jelas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

    "Kita akan membariskan pelumba yang berpangkalan di Melbourne diketuai Azizulhasni Awang bagi menggalas cabaran negara.

    "Kita sememangnya mengharapkan mereka yang berlatih di luar negara untuk meraih pingat. Pada peringkat awal, saya meletakkan sasaran untuk pelumba negara meraih dua emas," katanya.

    Pada ACC tahun lalu, Malaysia meraih emas menerusi Azizulhasni dalam acara pecut individu manakala gangsa diraih Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Azizulhasni Ketuai Cabaran Negara Di ACC "