• Argentina Beku Kenaikan Gaji, Kurang Perbelanjaan

    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+
    BUENOS AIRES – Presiden Argentina Mauricio Macri pada Isnin mengumumkan, pengurangan sebanyak 25 peratus untuk jawatan lantikan politik di cawangan eksekutif kerajaan serta membekukan kenaikan gaji kakitangan awam selain melarang anggota keluarga menteri memegang jawatan dalam kerajaan.

    Dalam satu majlis di Casa Rosada beliau berkata, pemberhentian kira-kira 1,000 kakitangan itu, iaitu “satu daripada setiap empat”, kerajaan dapat menjimatkan 1.5 bilion peso (sekitar AS$75 juta) setahun.

    Katanya, tahun ini juga tiada sebarang rundingan berkaitan gaji bagi kakitangan kerajaan “untuk jawatan lantikan politik” bermakna tiada kenaikan gaji.

    Macri berkata, dalam waktu terdekat beliau akan menandatangani dekri bahawa tiada menteri Argentina yang boleh melantik anggota keluarga dalam kerajaan.

    “Saya tahu dengan memperkenalkan langkah itu kita akan kehilangan beberapa rakan usaha sama yang sangat berharga, saya pun rasa bersalah tentang hal tersebut. Tetapi kita mahu menjadikan negara yang lebih telus,” katanya.

    Presiden berkata ketika mula menerajui pentadbiran pada Disember 2015, kerajaan penuh dengan masalah birokrasi dengan struktur yang “terlalu menegak”, sukar untuk membuat keputusan serta “mengambil masa terlalu lama” untuk melaksanakannya.

    “Kita melakukan perubahan untuk berkembang dan menjadi generasi yang mengubah Argentina untuk selama-lamanya,” kata Macri. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Argentina Beku Kenaikan Gaji, Kurang Perbelanjaan "