• Apple Disiasat Di Perancis Kerana Dakwaan Penipuan

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    PARIS: Pendakwa raya Perancis memulakan siasatan rasmi berhubung pendedahan Apple didakwa secara rahsia memperlahankan prestasi telefon pintar versi lamanya.

    Pejabat pendakwa raya memaklumkan kertas siasatan dibuka minggu lepas, berhubung dakwaan Apple secara terancang melakukan penipuan melibatkan beberapa produk keluaran syarikat itu.

    Siasatan diketuai badan yang mengawal selia penipuan produk, di bawah Kementerian Kewangan Perancis.

    Ia susulan aduan rasmi yang difailkan kumpulan pengguna Perancis, yang mensasarkan untuk menghentikan penipuan terancang produk oleh syarikat pengeluar.

    Di Perancis, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pengeluar dengan sengaja memendekkan jangka hayat produk dengan tujuan menggalakkan pengguna membeli produk baru.

    Akta berkenaan dikuatkuasa pada 2015, dengan penalti diperuntukkan sehingga dua tahun penjara dan denda sehingga lima peratus daripada perolehan tahunan syarikat terlibat.

    Apple mengemukakan permohonan maaf Disember lalu kerana secara rahsia memperlahankan prestasi iPhone, langkah yang didakwa terpaksa dilakukan untuk mengelakkan telefon pintar itu kehilangan kuasa secara tiba-tiba, susulan kegagalan bateri.

    Dalam kenyataan di laman web mereka, Apple memaklumkan tidak pernah dan tidak akan memendekkan jangka hayat produk Apple atau mengurangkan pengalaman pengguna supaya mereka menaik taraf telefon.

    Kumpulan hak pengguna, yang dikenali sebagai HOP, memfailkan saman pada 27 Disember lalu.

    Ia mendakwa Apple memperlahankan prestasi iPhone versi lama, supaya pengguna menukar telefon mereka kepada versi terbaru iPhone 8, yang baru dilancarkan.

    Selain Perancis, Apple ketika ini turut berdepan saman berhubung penipuan terancang di Amerika Syarikat dan Israel. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Apple Disiasat Di Perancis Kerana Dakwaan Penipuan "