• APMM Gagalkan Cubaan Seludup 300 Ekor Branjangan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+


    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 300 ekor burung Branjangan, di perairan Tanjung Gabang, Selangor, petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Sembilan/Melaka, Kapten Maritim Amran Daud berkata, cubaan itu dipatahkan pihaknya selepas mendapat maklumat melalui risikan wujud penyeludupan burung-burung spesis terancam di perairan Selat Melaka.

    "Justeru, kita lancarkan operasi ke kawasan terbabit dengan menggerakkan sebuah bot ronda APMM.

    "Sebaik sampai ke lokasi, jam 3 petang, terdapat sebuah bot keluar dari persempadanan perairan negara jiran dan sebaik menyedari kehadiran APMM, awak-awak bot terbabit bertindak membuang sebahagian sangkar yang menyimpan burung-burung terbabit," katanya, dalam satu kenyataan.

    Amran berkata, kumpulan seorang tekong dan tiga awak-awak berusia 38 hingga 55 tahun warga Indonesia berjaya ditahan di kedudukan 4.97 batu nautika Tanjung Gabang, Selangor.

    Menurutnya, kesemua mereka gagal mempamer dokumen pengenalan diri.

    "Kita dapati terdapat 300 ekor burung pelbagai spesis cuba diseludup dan hanya 279 daripadanya berjaya diambil semula dari laut, tapi hanya tiga ekor masih hidup.

    “Burung-burung ini disyaki dibawa dari Vietnam melalui jalan darat ke Thailand, dan memasuki Malaysia sebagai transit sebelum diseludup ke negara jiran, Indonesia untuk tujuan komersil," katanya.

    Tambahnya, semua burung dari pelbagai spesis burung terancam dan dilindungi di bawah World Wildlife Fund (WWF) dan salah satu spesis yang dikenal pasti ialah burung Branjangan.-hmetro

    Subjects:

    Nasional
  • No Comment to " APMM Gagalkan Cubaan Seludup 300 Ekor Branjangan "