• Anjing liar di LTAK gusarkan orang ramai

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    KUCHING: Kehadiran anjing liar yang berkeliaran di sekitar terminal Lapangan Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, menimbulkan kegusaran orang ramai yang bimbang jika haiwan itu bertindak ganas.

    Kebimbangan itu tercetus berikutan satu lagi mangsa wabak rabies atau penyakit anjing gila dikesan di bandar raya ini, minggu lalu.

    Seorang kakitangan sebuah syarikat penerbangan yang enggan namanya disiarkan berkata, pihaknya sering mendengar rungutan orang ramai yang tidak selesa dengan kehadiran haiwan itu.

    Beliau berkata, pihaknya pernah cuba menghalau haiwan itu, namun usaha mereka bukan sahaja gagal, malah jumlahnya kini semakin bertambah.

    "Saya mula menyedari kehadiran anjing liar di sini kira-kira dua tahun lalu, namun ketika itu jumlahnya hanya seekor dua sahaja.

    "Sejak tahun lalu, jumlah anjing liar semakin bertambah dan ada masanya saya nampak tidak kurang sepuluh ekor berkeliaran sekitar kawasan lapangan terbang," katanya ketika menghubungi BH hari ini.

    Beliau berkata, peningkatan jumlah mangsa rabies menambahkan lagi kebimbangan kerana dikhuatiri anjing-anjing terbabit dijangkiti virus merbahaya itu.

    "Difahamkan setakat ini tujuh mangsa di Sarawak sudah dijangkiti menyebabkan lima kematian.

    "Lebih membimbangkan kita ialah kes terbaru minggu lalu dikesan berlaku di Jalan Batu Kawa - Matang yang jaraknya bukan jauh sangat dari lapangan terbang ini," katanya.

    Malah katanya, anjing liar itu juga sering menyelongkar tong sampah di tepi bangunan terminal yang menjadi tempat pembuangan sisa makanan dari restoran makanan segera.

    "Setiap kali pekerja membuang sisa makanan di situ, kawasan sekitar tong sampah itu bersepah selepas diselongkar anjing.

    "Ia tentunya boleh menjejaskan imej LTAK sebagai pintu masuk utama ke negeri ini," katanya.

    Justeru beliau mengharapkan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab untuk kawasan LTAK supaya membendung anjing liar daripada terus berkeliaran di kawasan itu. - BHOnline
  • No Comment to " Anjing liar di LTAK gusarkan orang ramai "