• Angkasawan Bimbang Tak Dapat Balik Ke Bumi, Ketinggian Naik 9cm Lepas Tiba Di Angkasa

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    Bagi seseorang yang mengimpikan ketinggian ideal, pertumbuhan ketinggian mungkin sesuatu yang menggembirakan mereka, tetapi bagi seorang angkasawan Jepun Norishige Kanai perkara itu membuatkan beliau berasa bimbang.

    Ini kerana, Kanai yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah mengalami pertambahan ketinggian sebanyak sembilan sentimeter (cm) sejak beliau tiba di ruang angkasa lebih tiga minggu lalu.

    Memetik media antarabangsa, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Kanai menerusi catatan di laman Twitternya, meluahkan kebimbangan mengenai perubahan fizikal yang dialaminya itu mungkin akan menyukarkan beliau untuk berada di dalam kerusi kapsul Rusia Soyuz yang akan membawanya pulang ke bumi, pada Jun ini.

    “Selamat pagi, semua. Saya ada pengumuman penting hari ini (8 Jan). Kami telah melakukan pengukuran badan selepas tiba di angkasa, dan wow, wow, wow, wow, saya sebenarnya telah membesar sebanyak 9cm!

    “Saya tumbuh (ketinggian) seperti tumbuhan hanya dalam masa tiga minggu. Tidak pernah berlaku seperti ini sejak sekolah menengah. Saya agak bimbang sama ada saya muat untuk duduk di kerusi Soyuz bila saya kembali (ke bumi),” tulis Kanai dalam catatan di entrinya, kelmarin.

    Sebuah portal antarabangsa melaporkan kapal angkasa Soyuz yang membawa para angkasawan dari dan balik ke bumi mempunyai had ketinggian tempat duduk. Jika kru menjadi lebih tinggi semasa berada di angkasa, ia boleh menimbulkan masalah.

    Memetik portal Telegraph, pertumbuhan ketinggian seseorang berlaku kerana kurangnya tarikan graviti di ruang angkasa yang menyebabkan tulang belakang manusia meregang atau lurus.

    Namun, pengalaman yang dialami Kanai disifatkan sebagai luar biasa kerana seseorang angkasawan biasanya mengalami peningkatan ketinggian tidak lebih dua hingga lima cm ketika berada di ruang angkasa.

    Bagaimanapun, ketinggian angkawasan terbabit boleh kembali normal apabila mereka kembali ke bumi, lapor BBC.

    “Sembilan cm adalah banyak, tetapi ia mungkin berlaku, (kerana) mengetahui bahawa setiap tubuh manusia berbeza,” kata Libby Jackson dari Agensi Angkasa Inggeris memetik portal tersebut.

    “Kamu boleh menjadi tinggi di angkasa kerana tulang belakang kamu meregang, biasanya sekitar dua hingga lima cm.

    “Terdapat pelbagai perbezaan pertumbuhan seseorang, dan setiap orang memberi tindak balas yang berbeza,” tambahnya.

    Difahamkan, ini adalah misi pertama Kanai ke angkasa lepas yang mana sebelum ini beliau bertugas sebagai pegawai perubatan dengan Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun.

    Beliau tiba di ISS bersama angkasawan Amerika Syarikat, Scott Tingle dan angkasawan Rusia, Anton Shkaplerov selepas berlepas pada penghujung Disember lalu. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Angkasawan Bimbang Tak Dapat Balik Ke Bumi, Ketinggian Naik 9cm Lepas Tiba Di Angkasa "