• Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga Esok

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran situasi angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di beberapa kawasan sehingga esok pagi.

    Dalam kenyataannya berkata, amaran angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan melebihi 60 kilometer sejam (km/j) dan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter, dijangka berlaku di kawasan perairan timur laut Tioman, utara Bunguran, Condore dan barat laut Reef North sehingga esok.

    Situasi itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak.

    Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, turut dijangka berlaku di kawasan perairan tenggara Samui, tengah Reef North, Layang-layang, barat laut Palawan, perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga esok.

    Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

    MetMalaysia berkata, angin kencang kategori pertama dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Samui, tenggara Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Labuan, Palawan dan Sulu serta perairan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

    Ia berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

    Selain itu, ribut petir di perairan Tioman, Bunguran, Reef South, Layang-layang, Labuan, Sulu dan Palawan serta perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan WP Labuan dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

    Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga Esok "