• Anak Panda Kedua Zoo Negara Disahkan Betina

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 20 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Jantina anak kedua pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan di Zoo Negara dekat sini pada 14 Januari lalu, disahkan sebagai betina.

    Pengumuman mengenainya dibuat Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang mengesahkan adik kepada Nuan Nuan itu kini seberat 190 gram, berbanding 150 gram ketika lahir.

    “Anak panda tersebut berada dalam keadaan sihat dan dijaga dengan baik oleh ibunya, Liang Liang menerusi pemantauan rapi oleh pihak Zoo Negara.

    “Saya harap anak panda ini akan terus sihat dan kita tidak sabar melawatnya,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari Kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

    Setahun selepas itu, Nuan Nuan yang juga anak pertama pasangan itu, dilahirkan pada 18 Ogos 2015 sebelum dihantar pulang ke China pada 14 November lalu sebagai memenuhi syarat perjanjian.

    Dalam tempoh 15 bulan selepas kelahiran anak panda pertama, Liang Liang disahkan bunting sekali lagi dan dengan sendirinya mencatat sejarah Program Konservasi Panda Gergasi negara.

    Liang Liang dilaporkan bunting selama 89 hari sebelum melahirkan anak keduanya. Buat masa ini, dua beranak itu masih dikuarantin oleh pihak Zoo Negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Panda Kedua Zoo Negara Disahkan Betina "