• 'Anak Muda Tidak Mahu Dr M Jadi PM'

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Golongan pengundi muda di negara ini dikatakan kecewa apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diterima menyertai Pakatan Harapan (PH).

    Keadaan itu dilihat menyebabkan golongan terbabit terutama di kawasan bandar, menganggap perkembangan politik tanah air kebelakangan ini sebagai 'meletihkan'.

    Portal Free Malaysia Today (FMT) dalam laporannya hari ini, memetik kenyataan seorang aktivis, Maryam Lee, yang menyebut PH mengecewakan banyak pihak apabila menerima PPBM dalam pakatan pembangkang.

    Selain tidak berpuas hati dengan tawaran PH terutama langkah menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, beliau berkata, ramai anak muda turut tidak berpuas hati dengan tawaran Barisan Nasional (BN).

    "Saya tidak mahu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri seterusnya," katanya ketika menjadi panel forum 'Undi Rosak: Kau Nak Apa Sebenarnya' di sini, malam tadi.

    Maryam mendakwa, kempen #UndiRosak yang digerakkan di laman sosial terutama Twitter, bukan bertujuan mempengaruhi kepercayaan pengundi, sebaliknya mahu 'mendidik' mereka untuk memberi pengajaran kepada PH.

    Tanda pagar itu timbul pada 7 Januari lalu selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika pembangkang memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Maryam dilaporkan berkata, ia adalah petanda pentadbiran PH mungkin lebih buruk berbanding BN.

    "Pembangkang mahupun BN sama macam budak-budak.

    "Kenapa perlu undi kami? Siapa bekerja untuk siapa? Saya bukan benci politik tetapi benci dengan pimpinan politik yang tidak faham suara anak muda," katanya.

    Pandangan Maryam itu bagaimanapun tidak dipersetujui pemimpin muda DAP dari Selangor, Edry Faizal.

    Sebaliknya, Edry mencadangkan kempen #UndiBaikBaik dilaksanakan kerana gerakan merosakkan undi membuka jalan kepada parti yang menang berkuasa tanpa membuat pilihan.

    "Realiti di Malaysia ialah kerajaan akan ditubuhkan sama ada kita suka atau tidak dan apa juga yang dilakukan ketika kempen pilihan raya.

    "Kerajaan ini akan menggubal undang-undang dasar, perbelanjaan negara dan pada pilihan raya kelak, kita akan terkesan dengan keputusan kerajaan yang ditubuh.

    "Kita kena undi. Undi baik-baik dan pertimbang siapa lagi baik," katanya.

    Pemimpin Pemuda PPBM, Ashraf Mustaqim berkata, mereka yang tidak menyenangi Dr Mahathir tidak seharusnya merosakkan undi.

    "Jangan undi di kawasan Pengerusi PH itu bertanding. Misalnya kalau di Langkawi, tak perlu undi," katanya, yang menamakan satu daripada tiga tempat dipertimbangkan Dr Mahathir.

    Bagaimanapun, katanya, PH tidak wajar diboikot kerana berpendapat ia tidak adil untuk calon lain. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Anak Muda Tidak Mahu Dr M Jadi PM' "