• Anak ‘Datuk’ ke tali gantung kerana kes bunuh 2006

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas ahli perniagaan, Shahril Jaafar kerana membunuh seorang eksekutif pemasaran dekat sebuah kelab golf di Sungai Petani, pada 2006.

    Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif memutuskan sabitan Mahkamah Tinggi pada 2015 terhadap Shahril, anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, kerana membunuh Chee Gaik Yap, adalah tepat.

    “Kami sebulat suara dalam keputusan kami.

    “Berdasarkan keterangan mengikut keadaan, kami dapati tertuduh adalah orang yang bertanggungjawab ke atas kematian mangsa,” katanya ketika menyampaikan keputusan mahkamah tertinggi itu.

    Hakim lain yang menganggotai panel itu adalah Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Tan Sri Jeffrey Tan dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

    Shahril, 37, hanya mengangguk apabila mahkamah menyampaikan keputusannya.

    Pada 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati kepada Shahril kerana membunuh graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berhampiran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria, Sungai Petani.

    Chee yang ketika itu berusia 25 tahun dan bekerja sebagai eksekutif pemasaran, dirogol dan mayatnya dibuang di sebuah kawasan perumahan.

    Beliau dipercayai diekori penyerangnya ketika berjoging di kawasan itu.

    Shahril ditahan sejurus selepas mayat Chee ditemui, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian DNA.

    Dia bagaimanapun melanggar syarat ikat jaminan dan melarikan diri ke Perth, Australia, di mana beliau mendapat status penduduk tetap.

    Dia ditangkap semula 6 tahun kemudian, semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Perth pada Januari 2012.

    Pada Jun 2014, Mahkamah Tinggi membebaskan Shahril kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada November 2014 mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Shahril membela diri.

    Shahril memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, di mana pendakwa raya tidak boleh menyoal balasnya.

    Shahril memberitahu mahkamah, dia bertemu Chee untuk mengadakan hubungan seks tanpa paksaan dan membayar RM350 kepada seorang lelaki bernama “Wayne” untuk mendapatkan perkhidmatan seks daripada wanita itu.

    Dia memberitahu Mahkamah Tinggi, mereka melakukan hubungan seks di dalam keretanya dan Chee masih hidup selepas itu.

    Dia menafikan terlibat dalam kematian mangsa dan tidak melarikan diri ke Australia ketika polis masih menyiasat kes tersebut. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Anak ‘Datuk’ ke tali gantung kerana kes bunuh 2006 "