• Amerika Puji Pencapaian Penjelajah Negara

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+
    Foto BH
    KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memuji pencapaian diraih Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin atas kejayaannya menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam pertama Malaysia selepas menamatkan misi akhirnya ke Titik Darjah Kutub Selatan, akhir bulan lalu.

    Qobin, 36, diundang ke Kedutaan Amerika Syarikat hari ini dan mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit bersama Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

    Kehadiran Qobin bersama ayahnya, Mokhtarrudin Ismail, disambut mesra warga kedutaan selain berkesempatan berkongsi kisah, cabaran dan pengalamannya sepanjang misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer (km) itu.

    Lakhdhir, dalam kenyataannya hari ini memuji kesungguhan ditonjolkan anak kelahiran Pantai Dalam, Kuala Lumpur ini, selepas berjaya mengharungi 1001 rintangan menyempurnakan misinya menawan tujuh puncak tertinggi dunia dan penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.

    Beliau berkata, pencapaian yang diraih Qobin, melayakkan dirinya menjadi inspirasi kepada orang lain atas pengalamannya sendiri dalam mengharungi misi penjelajahan itu, termasuk bertemu dengan pelbagai kumpulan dari serata dunia.

    "Pencapaian Qobin menjadikan dia sumber inspirasi. Saya fikir kita semua dapat menarik inspirasi dari kesungguhan dan ketabahan Qobin.

    "Kami sangat bangga bahawa Qobin dapat menawan puncak Denali di Alaska (AS), gunung yang mempunyai cabarannya tersendiri sama seperti (cabaran di) Everest," katanya.

    Dalam kenyataan sama, Lakhdhir turut mengajak rakyat negara ini berkunjung ke Taman Negara AS dari Yellowstone ke Acadia, yang menyajikan pelbagai panorama indah dan memberi ketenangan serta santai kepada pengunjungnya, selain tidak memerlukan masa lama untuk mendaki.

    "Saya suka mendengar mengenai pengembaraan berbasikalnya merentas bandar dari Los Angeles ke Washington, D.C. Saya juga akan fikirkan selepas ini untuk berbasikal di Putrajaya," katanya.

    Qobin berjaya menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam pertama Malaysia selepas menamatkan misi akhirnya ke Titik Darjah Kutub Selatan bersama enam penjelajah pelbagai negara serta seorang jurupandu.

    Sebelum ini, beliau juga mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia selain 60 manusia dan penjelajah terawal yang menghabiskan penjelajahan itu.

    Pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam diberikan apabila seseorang itu menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.- BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " Amerika Puji Pencapaian Penjelajah Negara "