• Amah mati kelaparan: Tenaganita persoal suami isteri dihukum ringan

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi wanita dan pekerja asing berkata, sistem keadilan negara gagal memastikan keselamatan pembantu rumah, selepas sepasang suami isteri yang didapati bersalah menyebabkan amah mereka mati kelaparan, terlepas daripada tali gantung.

    Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata, hukuman ringan untuk mereka yang didapati bersalah mendera pembantu rumah mewujudkan duluan tidak baik.

    Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Soh Chew Tong dan Chin Chui Ling terhadap sabitan mereka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori kerana membunuh dengan niat.

    Pasangan dari Pulau Pinang itu yang memiliki perniagaan perkakasan di Bukit Mertajam, didapati bersalah menyebabkan pembantu rumah Kemboja mereka mati kelaparan 2 tahun lalu.

    Mereka kini dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di bawah pertuduhan lebih ringan – Seksyen 304(b) – mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.

    Glorene memberitahu FMT, walaupun Tenaganita tidak menyokong hukuman mati secara umumnya, tetapi hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan menyebabkan pembantu rumah mati kelaparan “tidak boleh diterima”.

    “Hukuman penjara 10 tahun menetapkan duluan yang akan memberi peluang kepada majikan tidak bertanggungjawab untuk mendera dan menyeksa pembantu rumah mereka.

    “Ketika lebih 30,000 hingga 40,000 majikan berpotensi sedang menunggu pembantu rumah, duluan ini sangat membimbangkan.”

    Katanya, untuk kes seperti itu, hukuman penjara perlu lebih lama dengan aset pelaku dibekukan.

    “Adakah sistem keadilan jenayah memandang ringan kes ini kerana bagi mereka, ini hanya mengenai seorang pembantu rumah yang tidak diiktiraf sebagai pekerja, tetapi sebagai hamba dan pembantu rumah?”

    Beliau berkata, hukuman yang dijatuhkan itu menunjukkan pihak pendakwaan tidak melakukan tugas mereka sebaik mungkin.

    “Hukuman sedemikian juga menunjukkan pendakwaan lemah dari segi siasatan dan pengumpulan fakta serta maklumat untuk membina bukti lebih kukuh terhadap tertuduh.” - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Amah mati kelaparan: Tenaganita persoal suami isteri dihukum ringan "