• Aktif Jual Sundal Murah

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    PETALING JAYA: Aktif jual sundal murah dari Vietnam dan Thailand. Itu antara kegiatan maksiat dikesan dilakukan beberapa pemilik premis hiburan sekitar Lembah Klang.

    Kebanyakan wanita warga asing itu dijadikan pelaris bagi menarik perhatian lelaki tempatan berkunjung ke pusat hiburan terbabit.

    Kegiatan itu dibongkar selepas lapan premis hiburan yang disyaki menjalankan aktiviti maksiat di Puchong, Subang Jaya, Petaling Jaya, Selayang dan Kuala Selangor di gempur malam kelmarin.

    Op Noda yang dijalankan serentak bermula jam 9.30 malam itu menahan 42 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO), tujuh penjaga premis dan dua pelanggan lelaki.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, serbuan dilakukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

    “Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan berhampiran Pusat Bandar Puchong menahan seorang lelaki tempatan disyaki penjaga, 18 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand disyaki GRO.

    “Serbuan kedua pula dilakukan di USJ1, Subang Jaya diikuti pusat hiburan berhampiran Medan Niaga, Kuala Selangor. Hasilnya polis menahan seorang penjaga lelaki tempatan, enam wanita Vietnam dan seorang wanita warga Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata, di Gombak, pihaknya menyerbu tiga pusat urut berhampiran Taman Selayang Jaya.

    “Hasilnya polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia dipercayai penjaga, tujuh wanita Thailand, dua wanita Indonesia, seorang wanita warga China bersama dua pelanggan lelaki warga Bangladesh.

    “Manakala di Petaling Jaya, dua pusat urut di Kota Damansara diserbu. Kami menahan seorang lelaki tempatan yang menjadi penjaga premis bersama seorang pelayan wanita warga Thailand dan empat wanita Kemboja,” katanya.

    “Kami turut merampas pelbagai peralatan audio, tuala, minyak urut, tisu dan resit perniagaan selain wang tunai RM1,366. Semua yang ditahan dibawa ke balai polis terdekat untuk siasatan lanjut.

    “GRO dan penjaga akan disiasat mengikut Seksyen 55B, 39b dan 15(4) Akta Imigresen serta Seksyen 6(1)(c) Peraturan Imigresen,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Aktif Jual Sundal Murah "