• AirAsia Mahu Tambah 30 Pesawat lagi

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+


    DAVOS- AirAsia merancang untuk menambah sekitar 30 pesawat bagi kegunaan syarikat-syarikat sekutu tahun ini didorong oleh permintaan kukuh di seluruh rantau Asia.

    Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, permintaan kukuh datang terutamanya daripada Filipina dan Indonesia.

    “Kami mampu menjadikan pasaran Filipina dan Indonesia semakin hangat dan menjadikan mereka sebagai pertama,” katanya kepada Reuters TV semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos.

    AirAsia yang menerbangkan hampir 200 pesawat merupakan pengendali terbesar Airbus A320 mempunyai syarikat penerbangan di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Jepun dan merancang untuk berkembang di China dan Vietnam.

    Menurut Tony, ahli lembaga pengarah AirAsia India, syarikat usahasamanya dengan Tata Group telah meluluskan cadangan Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan telah melantik bank-bank untuk kerja permulaan.

    “India bakal memberikan kejutan manis untuk AirAsia,” katanya.

    Kerajaan India pada bulan ini berkata, ia akan membenarkan pelabur-pelabur asing untuk mengambil bahagian dalam proses penswastaan syarikat penerbangan Air India namun Tony menafikan penglibatan AirAsia di dalam urusniaga itu.

    “Kami tahu kepakaran kami iaitu kos rendah.

    “Air India adalah sebuah syarikat penerbangan yang bagus tetapi ia bukan model perniagaan kami dan bukan sesuatu yang kami minat untuk sertai,” katanya lagi.

    Dalam temubual dengan Bloomberg pada Selasa, Tony berkata, kumpulan AirAsia akan menempah lebih banyak pesawat pada masa akan datang.-MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " AirAsia Mahu Tambah 30 Pesawat lagi "