• 'Ahli Sindiket Tiada Masalah Bayar Kompaun'

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+
    NILAI: Bermula tahun ini, sindiket produk berjenama tiruan akan berdepan tindakan lebih keras termasuk pembekuan aset dan pelucutan harta.

    Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata selama ini anggota sindiket terbabit beranggapan denda dikenakan terlalu ringan.

    Bagi memerangi kegiatan sindiket terbabit, pihaknya akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang memperuntukkan hukuman lebih berat termasuk penjara sehingga 15 tahun, denda mencecah RM5 juta, pembekuan aset dan pelucutan harta.

    "Kadang-kadang apabila ditawarkan kompaun antara RM10,000 hingga RM50,000, ahli sindiket ini boleh bayar tanpa masalah, jumlah itu tiada apa-apa bagi mereka.

    "Kita tahu mereka sudah kumpul banyak harta melalui aktiviti haram termasuk kegiatan menghasilkan, mengedar dan menjual produk berjenama tiruan.

    "Harta dan aset itu mungkin atas nama mereka atau keluarga atau saudara-mara.

    "Kalau akaun mereka dan keluarga dibekukan, itu akan membuatkan mereka terjejas. Kita berpendapat tindakan seperti ini menunjukkan ketegasan dan sewajarnya digunakan terhadap mereka," katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK di sini, hari ini.

    Terdahulu, beliau menghadiri program pelupusan barang rampasan sepanjang tahun 2017 sehingga Januari 2018, membabitkan 368 kes termasuk mengikut Akta Hak Cipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1999.

    Mohd Roslan berkata, 10 kertas siasatan dibuka mengikut AMLATFPUAA pada 2016 dan pihaknya berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk membekukan akaun bernilai RM43.3 juta.

    Tahun lalu, katanya, pihaknya bersama Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Bank Negara dan polis menumpaskan penipuan skim pelaburan membabitkan tindakan membekukan aset alih bernilai RM214.46 juta dan menyita aset perbankan bernilai RM133.10 juta.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Roslan berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan berterusan pasukannya yang menyaksikan negara tidak berdepan krisis kekurangan bahan keperluan terutama barang kawalan termasuk gula dan minyak masak seperti dihadapi pada tahun sebelumnya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ahli Sindiket Tiada Masalah Bayar Kompaun' "