• Ahli SABERKAS Berperanan Kekang Penularan Masalah Sosial

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Naib Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Dr Abdul Rahman Junaidi menggesa ahli pertubuhan tersebut menggembleng tenaga untuk bersama-sama mengekang masalah sosial yang kian menular di kalangan anak muda.

    Beliau yang juga Pengerusi SABERKAS Pantai Damai berkata, ahli SABERKAS sebenarnya memainkan peranan besar dalam masyarakat termasuk berusaha mengurangkan masalah tersebut sehingga menjadi sifar.

    "Kita tidak dapat menafikan yang masalah sosial melibatkan golongan belia mula menular ke semua kawasan termasuk kawasan kita sendiri (Pantai Damai) namun apa yang boleh kita buat adalah dengan berusaha meminimakannya atau terus menjadikannya sifar," katanya pada Majlis Makan Malam Mesra SABERKAS malam tadi.

    Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti menjelaskan, antara langkah yang boleh diambil untuk mengekang masalah tersebut adalah dengan mengadakan program bermanfaat melibatkan belia secara lebih kerap.

    "Usaha seperti ini penting untuk memastikan masalah terluang mereka (belia) diisi dengan perkara yang berfaedah," ujarnya.

    Menurutnya, SABERKAS ditubuhkan adalah untuk membela nasib golongan belia di Sarawak.

    Tambahnya, pertubuhan tersebut bukan sekadar badan bukan kerajaan (NGO) tetapi badan yang diiktiraf kerajaan negeri yang memberi tumpuan khusus kepada belia.

    "Setiap ahli SABERKAS adalah pemimpin dan kita perlu menghayati serta berusaha memperkasakan golongan belia supaya lebih berketerampilan dan dihormati," ujarnya.

    Sementara itu, pada majlis tersebut Dr Abdul Rahman menyampaikan peruntukan aktiviti berjumlah RM19,000 kepada 19 unit SABERKAS di Pantai Damai.-Sarawakiana



  • No Comment to " Ahli SABERKAS Berperanan Kekang Penularan Masalah Sosial "