• Ahli Akademik Senada Dalam Usaha Banteras Berita Palsu

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    KUCHING, 31 Jan (Bernama) -- Rata-rata kalangan ahli akademik yang dirujuk hari ini senada dalam mengecam sebarang penyebaran berita palsu di media sosial, dan berpnedapat sudah tiba masanya suatu langkah punitif lebih berat diketengahkan bagi membanteras gejala itu.

    Kebanyakannya memberikan respons positif terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengenai usaha kerajaan menjalankan kajian bagi menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu dalam media sosial.

    Felo Utama dan Ketua Pegawai Maklumat Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Ahmad Zaki Abu Bakar berkata ini kerana berita palsu atau fitnah ternyata boleh mengganggu gugat kestabilan negara dan keharmonian antara kaum.

    Beliau berkata usaha membendung berita palsu memang sukar kerana sudah menjadi budaya dalam masyarakat untuk mengirim serta berkongsi khabar angin dan gosip tanpa kesahihan daripada sumber yang sahih.

    "Jadi menerusi peruntukan undang-undang, ia umpama serampang dua mata yang boleh mengawal serta diguna pakai oleh kedua-dua pihak iaitu pengamal media dan rakyat. Penyebaran berita sepatutnya perlu berdasarkan kebijaksanaan, sesuai dengan isu semasa dan keadaan sebelum sesuatu berita itu disalurkan," katanya kepada Bernama.

    Pensyarah Fakulti Pengurusan Sumber Manusia Kolej Bersepadu Nasional Fazly Nordin pula ketika dihubungi berpendapat kerajaan seharusnya menambah baik undang-undang sedia ada dengan memasukkan klausa-klausa yang berkaitan dengan media massa dalam satu daripada seksyen Akta Hasutan.

    Beliau berkata media memainkan peranan besar dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat, dan tanpa berita yang sahih ia akan melemahkan institusi kerajaan.

    "Mana-mana individu yang bersalah, penalti yang setimpal harus dikenakan sebagai pengajaran. Memang sebagai rakyat kita berhak untuk bersuara tetapi haruslah berdasarkan fakta yang sahih tanpa menokok tambah sesuatu jika tiada bukti atau kebenaran," ujarnya.

    Naib Canselor Univerisiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS), Prof Khairuddin Ab Hamid pula berkata sebelum melaksanakan undang-undang tersebut, kerajaan perlu meneliti tujuannya secara terperinci.

    "Ia umpama garis panduan yang akan diguna pakai di kemudian hari, jadi kita tidak mahu apabila ia telah dilaksanakan kelak, undang-undang itu akan dipertikai oleh sesetengah pihak secara berterusan," katanya.

    "Seterusnya, pelaksanaan undang-undang tidak boleh berat sebelah, contohnya demi kepentingan sebelah pihak sahaja. Jika keputusan dibuat berdasarkan sebelah pihak, pasti ramai pihak tidak akan berpuas hati di mana suara atau hak mereka umpama disekat," katanya ketika dihubungi Bernama.

    Kita sedia maklum, penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat semakin meningkat, segala maklumat dan sumber yang diperoleh boleh dikongsi dengan mudah. Jadi dengan tahap pemikiran yang berbeza, setiap maklumat akan ditafsir secara berbeza, mungkin ada yang benar, tetapi apabila tiada bukti yang sahih ia juga boleh menjadikan perkara tersebut diklasifikasikan sebagai berita palsu," tambahnya.

    Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pengajian Komunikasi Unimas Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata cadangan tersebut adalah satu langkah yang tepat dalam mengekang berita palsu yang kian sukar dikawal.

    Jelasnya dari konteks media sosial, kawalan itu perlu diambil agar pihak yang tidak bertanggungjawab tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu yang boleh merosakkan serta mengganggu ketenteraman diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    "Kebebasan tanpa kawalan umpama meruntuhkan diri sendiri dan negara sekali gus boleh menggagalkan dasar sesebuah negara.

    "Kita tidak mahu akibat daripada kebebasan bersuara ia membawa kepada kehancuran, justeru inilah masa yang sesuai untuk mengawal serta menyekat tindakan yang agresif dalam penyebaran berita palsu melalui undang-undang yang lebih tegas dengan hukuman yang disertakan sekali dengan hukuman penjara," katanya.

    Tambah beliau, pemahaman dalam undang-undang tersebut juga harus ditekankan untuk semua pihak agar sesiapa yang berniat untuk menyebarkan berita palsu akan berasa gerun.

    "Tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini membenarkan rakyatnya sebebas-bebasnya bersuara tanpa etika dan batas, jadi langkah inklusif perlu diambil segera demi kesejahteraan sejagat," katanya. -- BERNAMA
  • No Comment to " Ahli Akademik Senada Dalam Usaha Banteras Berita Palsu "