• ADUN Akui Kos Kajian Tidak Munasabah

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui pembayaran kepada syarikat perunding untuk pelaksanaan kajian projek terowong dasar laut berjumlah RM305 juta terlalu tingggi serta merugikan sekiranya projek itu gagal dilaksanakan.

    ADUN Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin, berkata isu pembayaran kos kajian kebolehlaksanaan projek mega yang dibuat dalam bentuk pampasan tanah berkenaan, sebelum ini pernah dibangkitkan olehnya serta beberapa wakil rakyat lain, termasuk daripada DAP dalam beberapa sidang DUN lalu.

    Norlela berkata, perkara itu juga pernah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Pulau Pinang bertujuan menuntut penjelasan lebih terperinci daripada kerajaan negeri.

    "Pada masa itu sebagai ahli PAC, kita persoalkan mengapa kos kajian kebolehlaksanaan projek ini terlalu mahal dan adakah pembayaran yang dibuat itu munasabah dengar kadar kerja yang dilakukan syarikat perunding yang dilantik.

    "Malah, anggota PAC, termasuk dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ketika itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mengikut garis panduan dan pekeliling berhubung penjimatan kos yang dikeluarkan Perbendaharaan Negeri sebelum memutuskan pembayaran kajian berkenaan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

    BH hari ini, mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikan isu bayaran kepada syarikat perunding untuk melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang berjumlah RM305 juta, termasuk pertukaran dua lot tanah di Tanjung Tokong sebagai fokus siasatan.

    Ia kerana dua lot tanah terbabit, masing-masing berkeluasan 1.49 hektar dan 0.8 hektar, apabila dimajukan nilainya mampu mencecah sehingga RM15 bilion.

    Norlela berkata, kerajaan negeri mendakwa bayaran kajian berkenaan dibuat mengikut konsep mengambil sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan kos sesebuah projek, selain mengakui mengikut amalan Institut Jurutera Malaysia (IEM).

    "Sedangkan bayaran kos kajian kebolehlaksanaan projek mega itu boleh dibuat berdasarkan yuran profesional dan kos pelaburan semula yang dijangka tidak menelan kos terlalu tinggi.

    "Malah, kita juga bimbang apa kesudahan ke atas kos yang sudah dilaburkan itu sekiranya hasil akhir kajian berkenaan merumuskan projek berkenaan tidak sesuai dijalankan," katanya.

    Sementara itu, ADUN Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu berkata, isu pembangunan projek terowong dasar laut berkenaan hakikatnya tidak dipersetujui oleh ramai ADUN, termasuk dalam kalangan wakil rakyat DAP sendiri.

    "Banyak persoalan yang masih gagal dijawab kerajaan negeri termasuk mengenai status projek pembangunan di atas tanah yang diberikan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat perunding, sekiranya projek itu tidak diluluskan Kerajaan Pusat," katanya.

    Bagi ADUN Pulau Betong daripada BN, Muhammad Farid Saad berkata, tindakan kerajaan negeri yang tetap mahu meneruskan projek berkenaan walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat projek terbabit, membuktikan kerajaan negeri tidak mengambil peduli pandangan rakyat.

    "Banyak keraguan yang wujud dalam projek ini dan kita difahamkan kerajaan negeri sudah membayar RM135 juta daripada RM305 juta berkenaan.

    Justeru, adakah akan ada lagi tanah yang akan dijual untuk melunaskan baki keseluruhan kos terbabit?

    "Jadi, disebabkan banyak pihak yang meragui projek ini adalah lebih baik menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ADUN Akui Kos Kajian Tidak Munasabah "